ALLAH SWT memberi rezeki kepada hambaNya dalam pelbagai bentuk dan kadang-kadang hambaNya berasa hairan apabila melihat manusia diberikan ketenangan dan kelapangan yang berbeza, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu menerusi laman Telegram berkata, ada manusia diberikan kurniaan wang yang banyak, namun masih berasa tidak cukup sehingga menganiaya orang lain dalam mencari harta dunia.
Namun, katanya, ada juga manusia yang dikurniakan rezeki yang sederhana atau sedikit, namun hidup mereka tenang dan bahagia sehingga ada yang berasa seronok melihat ketenangan dan kebahagian kehidupan mereka.
"Jelas di sini bahawa ketenangan dan kebahagian itu tidak semestinya datang dengan limpahan wang yang banyak tetapi dianugerahkan buat mereka yang redha dan menjaga hak-hak yang diperintahkan oleh Allah," katanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya ALLAH Tabaraka wa Taala, akan menguji hambaNya dengan rezeki yang telah Dia berikan kepadanya.
"Barang siapa yang redha dengan pemberian ALLAH, maka ALLAH akan memberkati dan melapangkan rezeki tersebut untuknya. Dan barang siapa yang tidak redha, nescaya rezekinya tidak diberkati," -Hadis Riwayat Ahmad
Ahmad Sanusi berkata, tidak salah mencari rezeki yang banyak, namun jangan sampai harta tersebut menjadikan manusia jauh daripada ALLAH SWT dan tidak bersyukur dengan kurniaan yang diberikan.
"Semoga ALLAH membimbing kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram