SIFAT sentiasa menjunjung tinggi peraturan dan perundangan negara adalah antara ikhtiar untuk menjadi warganegara yang baik dan bertanggungjawab, yang juga mampu dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat, kata khutbah Jumaat bertarikh 24 September 2021.
Khutbah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) itu mengingatkan, kepatuhan kepada peraturan dan perundangan negara ini juga merupakan salah satu bentuk ketaatan kepada para pemimpin, yang sememangnya menjadi salah satu perintah ALLAH SWT.
Selain itu, khutbah berkata, warganegara yang baik adalah mereka yang sentiasa berhati-hati dalam bermuamalah dan menerima sebarang informasi.
“Apatah lagi dalam era digital ketika ini, perkembangan teknologi yang begitu pesat, setiap informasi mengalir deras tanpa mengenal batas waktu dan tempat.
“Namun, perlu diingat bahawa semua informasi yang muncul perlu ditabayun (ditapis) bagi memastikan kesahihannya.
“Informasi palsu dan tidak benar yang beredar dalam masyarakat hanya akan mengganggu gugat kestabilan masyarakat dalam negara,” katanya.
Bagi mengukuhkan lagi keharmonian negara ini, khutbah berkata, setiap lapisan masyarakat perlu menunaikan peranan masing-masing dengan perkara-perkara yang baik dan ia boleh dilakukan dengan seoptimum mungkin.
Katanya, para pemimpin perlu amanah dan mampu menguruskan rakyat yang dipimipin.
Khutbah berkata, manakala pihak yang dipimpin pula perlulah mendukung para pemimpin dalam hal-hal yang mendatangkan maslahah atau kebaikan, serta menjauhi mafsadah atau keburukan kepada seluruh warganegara.
Tambahnya, setiap lapisan masyarkat perlu sentiasa berganding bahu dan saling membantu untuk mewujudkan suasana sejahtera, selain mengelakkan rasa iri hati dan saling dengki-mendengki antara satu sama lain.
“Setiap kekurangan perlu ditampung dengan kelebihan yang dimiliki oleh pihak lain kerana begitulah lumrah dalam hidup bermasyarakat.
“Masing-masing saling menguatkan dan melengkapkan antara satu sama lain dan bukan pula untuk menjatuhkan lebih-lebih lagi dalam suasana kita berusaha memulihkan negara dari kemelut pandemik Covid-19,” katanya.
Selain itu,khutbah berkata, Islam juga mengajar umatnya untuk saling menasihati dan menegur antara satu dengan lain, dalam usaha menjaga kesejahteraan dan keberkatan hidup.
Katanya, nasihat atau teguran yang disampaikan perlu beradab, sopan dan berhikmah disebabkan matlamat utama adalah demi kebaikan dan bukan bertujuan menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk.
“Setiap kita juga perlu berjiwa besar untuk menerima teguran dan nasihat dari orang lain.
“Maka, jika nasihat disampaikan dengan betul, dan nasihat diterima dengan hati terbuka, pastinya ia menatijahkan suatu perubahan yang baik bukan sahaja kepada individu tersebut, bahkan kepada seluruh masyarakat umumnya.
“Seterusnya, terbentuklah suatu keadaan masyarakat yang harmoni, negara yang baik dan diredhai oleh ALLAH SWT,” kata khutbah. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram