Keluarga bahagia hikmah di sebalik perkahwinan


  • Mukmin
  • Rabu, 29 Sep 2021

MANUSIA dicipta ALLAH secara berpasangan untuk hidup bahagia dan berkasih sayang antara satu sama lain. — Agensi

SETIAP manusia inginkan kebahagiaan dalam hidup dan salah satunya memiliki keluarga yang bahagia.

Keluarga yang bahagia merupakan hikmah di sebalik perkahwinan sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 yang bermaksud;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.

"Dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Ayat ini menjelaskan tujuan sebenar penciptaan pasangan adalah untuk hidup bahagia dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Dalam membina kebahagiaan rumah tangga, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam menjalani kehidupan berkeluarga.

Setiap individu perlu memahami peranan masing-masing dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Suami dan bapa bertanggungjawab memainkan peranan dalam menentukan hala tuju rumah tangga.

Sememangnya kehidupan alam berumah tangga tidak dapat lari daripada dibadai ujian dan pancaroba.

Dalam menghadapinya, suami dan isteri mestilah saling menyayangi, saling memahami, saling berkongsi, saling memberi, saling menjaga dan saling memaafi setiap kesalahan dan kekurangan.

Tingkatkan kebersamaan dalam melakukan aktiviti keluarga.

Mulakan dengan amalan solat berjemaah, terapkan budaya ilmu serta manfaatkan ruang dan masa berkualiti bersama.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah RH, daripada Ibnu ‘Abbas RAnhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sebaik-baik kalian adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.” — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram