'Bila buat dosa rasa takut Allah, itulah kasih sayang-Nya'


  • Mukmin
  • Sabtu, 18 Sep 2021

AZHAR Idrus berkata, sekiranya seseorang boleh melaksanakan suruhan Allah SWT, ia petanda Dia menyayangi individu itu. — Astro Awani

SIFAT Ar-Rahman yang dimiliki Allah SWT menjadikan setiap makhluknya mendapat nikmat tidak mengira bangsa dan agama, kata Azhar Idrus.

Penceramah bebas itu berkata, nikmat itu juga diberikan kepada orang kafir termasuk tempat tinggal, keluarga, harta dan makanan yang enak meskipun mereka menyembah berhala.

Bagaimanapun, katanya, Allah SWT juga bersifat Ar-Rahim, yang mana kasih sayang-Nya hanya diberi kepada orang beriman sahaja.

Katanya, sekiranya seseorang boleh melaksanakan suruhan Allah SWT, ia adalah petanda bahawa Dia menyayangi individu itu.

“Kita banyak dosa, tapi kita masih berpeluang untuk bertaubat, boleh istighfar selepas sembahyang subuh. Maka, itu tanda Allah sayang kepada kita.

“Kalau Allah tak sayang, apabila kita buat dosa, kita tak akan rasa apa-apa. Orang yang melakukan dosa lalu merasa takut kepada Allah, itu kasih sayang Allah.

“Sebab bukan semua orang buat dosa kemudian rasa takut kepada Allah. Golongan yang melakukan dosa tanpa rasa apa-apa hanya hidup dengan penuh nikmat tetapi tiada rahmat, “ katanya menerusi ceramah yang dimuat naik di laman YouTube.

Pada masa sama, Azhar Idrus berkata, ujian daripada Allah SWT juga menandakan Dia menyayangi hamba-Nya.

Memberi contoh para nabi, beliau berkata, pesuruh-pesuruh Allah itu paling disayangi-Nya kerana paling banyak diuji.

Katanya, ujian yang diberi oleh Allah SWT bukan hanya berbentuk cuaca teruk, malah hamba-hamba-Nya juga diuji dengan nikmat, kekayaan dan kesusahan.

Beliau berkata, ada kalanya individu yang sebelum memegang sebarang jawatan mempunyai janji-janji manis, namun akan lupa diri apabila mendapat jawatan yang diidamkan.

“Ini masalah kita. Masa belum jawat jawatan Allah belum uji, tapi Allah juga uji dengan pangkat,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Azhar Idrus, dosa, ujian