Sia-sia baca al-Quran jika mahu menunjuk-nunjuk


  • Mukmin
  • Ahad, 19 Sep 2021

MEMBACA al-Quran menjadi satu perkara yang sia-sia apabila dihiasi dengan perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk. —Agensi

ALLAH SWT mendidik hamba-Nya supaya memohon perlindungan-Nya daripada godaan syaitan ketika ingin melakukan kebaikan, kata Dr. Ahmad Sanusi Azmi.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, perkara itu penting kerana syaitan berupaya menghiasi amalan kebaikan menjadi satu unsur dosa dan sia-sia.

Katanya, ini juga selaras dengan firman ALLAH SWT melalui surah al-Nahl, ayat 98, supaya memohon perlindungan-Nya dari hasutan syaitan yang direjam apabila membaca al-Quran.

“Lebih malang lagi apabila membaca al-Quran itu menjadi satu perkara yang sia-sia apabila dihiasi dengan perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk.

“Syaitan meniupkan rasa bangga diri sehingga manusia tidak sedar amalan mereka berupaya menjadi debu,” katanya.

Tambah Ahmad Sanusi, syaitan juga boleh membisikkan api perdebatan melalui kefahaman manusia terhadap al-Quran sehingga manusia tenggelam dalam pergaduhan dan tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.

“Oleh yang demikian, sekalipun al-Quran itu adalah sumber segala kebaikan, ALLAH tetap mendidik manusia akan memohon perlindungan daripada tipu daya syaitan.

“Tiada siapa boleh menyangka, kebaikan itu dihiasi oleh syaitan dengan hasutannya sehingga menjadi unsur sia-sia,” jelasnya. —Telegram

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

al-Quran, syaitan, berlindung, ALLAH SWT,