Covid-19: 'Kalau ada kurma Ajwa lagi baik untuk kita'


  • Mukmin
  • Isnin, 20 Sep 2021

PENGAMBILAN buah kurma sebanyak tujuh biji sehari diharapkan dapat membuang racun dalam badan seseorang. — Agensi

COVID-19 yang dikesan sejak Disember 2019 sememangnya menggemparkan dunia apabila sehingga Isnin, lebih 229 juta penduduk di lebih 236 negara dijangkiti wabak itu.

Menurut Worldometer, pandemik itu juga mengakibatkan lebih 4.7 juta kematian dan lebih 205 juta penduduk dunia telah pulih daripada virus itu.

Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia masih belum menemui sebarang punca atau penawar sebenar bagi wabak itu.

Justeru, pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mencadangkan orang ramai untuk mengambil beberapa makanan sunnah, yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai ikhtiar bagi merawat Covid-19.

Mohd Kazim berkata, pengambilan buah kurma sebanyak tujuh biji sehari diharapkan dapat membuang racun dalam badan seseorang.

“Kalau ada kurma Ajwa lagi baik untuk kita,” katanya menerusi laman YouTube.

Tambahnya, habbatus sauda sama ada berbentuk minyak, kapsul ataupun biji juga baik untuk kesihatan dan boleh juga dimakan bersama nasi.

“Makanlah habbatus sauda, satu ubat yang Nabi sebut menyembuhkan semua penyakit melainkan mati.

“Jangan lupa buah lemon dan oren. Mudah-mudahan Allah beri kesihatan kepada kita,” ujarnya.

Selain itu, Mohd Kazim menasihati, dalam apa jua wabak yang menimpa, kita perlu mengamalkan cara hidup sihat seperti keluar rumah apabila perlu sahaja serta mengikut sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Saya ada pesan banyak kali ketika ambil wudhuk masukkan air ke dalam hidung dan keluarkannya kembali seperti mana yang disuruh oleh Nabi SAW.

“Sepatutnya di rumah kita juga ada penembak suhu untuk kaji suhu badan kita dan standby untuk oksigen dalam badan kita (oximeter), darah kita dan alat-alat ini kita perlu dan simpan untuk pantau kesihatan.

“Kita mohon kepada Allah supaya sahabat-sahabat kita yang terkena Covid-19 diberi kesembuhan kesihatan dan mudah-mudahan kita dipelihara oleh Allah daripada terkena Covid-19,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

habbatus sauda, kurma, Covid-19