Waris terlepas tanggungjawab hutang si mati yang tidak dituntut


  • Mukmin
  • Rabu, 25 Ogos 2021

HUTANG adalah satu perkara yang amat besar dalam Islam. Disebabkan itu, orang Islam sentiasa diingatkan supaya melangsaikan secepat mungkin ketika masih hidup.

Rasulullah SAW sendiri pernah menolak untuk menyempurnakan solat jenazah bagi orang yang tidak melunaskan hutangnya.

Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, "Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?" Mereka menjawab, "Ya."

Lalu baginda bersabda: "Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.”

Tetapi bagaimana pula jika si mati tidak sempat untuk membayar hutangnya ketika masih hidup?

Merujuk kepada jawapan yang dimuat naik oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, waris harus berusaha untuk menjejak si pemiutang.

Namun sekiranya tiada sebarang petunjuk mahupun bukti yang menunjukkan arwah berhutang serta tiada pihak yang datang menuntut selepas beberapa ketika, maka tanggungjawab itu dianggap sudah terlepas.

Hutang harus dibayar walaupun tidak diminta.

Hutang harus dibayar walaupun tidak diminta. (GAMBAR HIASAN)

"Kaedah fiqh menyebut kedudukan asal bagi seseorang adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab melainkan terdapat dalil atau bukti-bukti yang menunjukkan sebaliknya. Oleh itu, waris boleh menganggap beliau seperti tidak berhutang dengan sesiapa.

"Dalam masa yang sama, digalakkan untuk memberi sedekah kepada fakir miskin dengan niat melangsaikan hutang arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan orang lain tanpa disedari," menurut jawapan yang diberikan itu.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, Islam mengajar kita untuk berpegang dengan kaedah fiqh yang membawa maksud “(Keadaan) asal (seseorang) adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab”.

"Kaedah ini merupakan kaedah asas yang memberi maksud bahawa seseorang itu secara asalnya terlepas daripada sebarang kewajipan dan tanggungjawab kerana mempunyai beban dan tanggungjawab merupakan perkara yang mendatang dan berlawanan dengan sifat asal.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyertakan sepotong hadis yang bermaksud:

“Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: Seandainya setiap pengaduan dan dakwaan manusia diterima, nescaya manusia akan mendakwa harta suatu kaum dan darah mereka. Oleh kerana itu, (agar tidak terjadi hal tersebut) beban dalil dan bukti dikenakan terhadap pendakwa manakala pihak tertuduh perlu bersumpah bagi mengingkarinya”.

Namun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah dengan hutang dan berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikannya kerana dosa orang yang berhutang tidak akan terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang.

hutang, waris, mufti