'Utamakan jemaah tiba awal, bukan kuota khas VIP'


  • Tular
  • Rabu, 15 Sep 2021

ISU 'kayangan masjid menjadi sebutan netizen sejak minggu lalu. — Facebook

PIHAK masjid disaran memberi keutamaan kepada jemaah yang tiba dahulu, berbanding menyediakan kuota khas untuk kalangan VIP untuk sembahyang Jumaat, kata Mujahid Yusof.

Naib Presiden Amanah itu dalam satu laporan media berkata langkah terbabit perlu dibuat dalam suasana hari ini di mana kapasiti jemaah di masjid adalah terhad.

"Dalam keadaan biasa, tidak akan timbul isu (kuota), tetapi dalam keadaan norma baru ini perlu ada semakan kerana pada masa ini jemaah terhad, (maka) ruang perlu diberi kepada mereka yang paling berdisiplin, iaitu datang awal.

"Maknanya kalau sudah penuh (kapasiti), tutuplah. Kalau ada VIP datang lewat, tak dapatlah (sertai sembahyang jemaah). Dia juga perlu tunggu giliran. Saya nampak ini (penyelesaiannya) dalam masa sekarang," katanya yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mujahid mengulas isu yang tular baru-baru ini, membabitkan VIP dan orang awam yang mahu menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya,.

Berdasarkan kepada penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim, pihaknya memang memperuntukkan kuota khusus untuk VIP termasuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas - sebanyak 10 peratus - setiap kali sembahyang Jumaat.

Bagaimanapun untuk rekod, rasa tidak puas hati itu bukan sekadar melibatkan jumlah jemaah yang dibenarkan hadir tetapi turut melibatkan masa seseorang itu tiba di masjid serta kebenaran yang diberikan untuk VIP terbabit.

Mujahid yang juga ahli parlimen Parit Buntar menggesa saranannya diguna pakai bagi mengelakkan keadaan kurang selesa dalam kalangan orang Islam.

"Kalau kita tak berbuat demikian, ia akan jadi isu kerana orang ramai akan pertikaikan mereka datang awal dan beratur tapi tiba-tiba dia ini (VIP) datang lambat boleh masuk.

"Jadi, benda inilah yang menyebabkan keadaan yang kurang selesa ini dan kita pun faham dalam suasana pandemik ini, saya rasa hampir dua tahun kehadiran jemaah terpaksa dihadkan.

"Jadi, itu yang membuatkan mereka marah, malah ada yang dah datang dua kali, empat kali cuba datang solat tapi tak dapat. Tiba-tiba lihat ada (VIP) melintas dan terus dapat masuk, itu satu tanggapan yang kurang baik," katanya.

Video itu tular di media sosial dengan kebanyakannya mempertikai apa yang disifatkan mereka sebagai layanan berbeza terhadap jemaah.

Masjid Putra kemudian dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan masjid telah memperuntukkan “sejumlah kuota” daripada 300 kuota yang ditetapkan, untuk “jemaah tetap” yang telah mendaftar lebih awal.

Jelas Masjid Putra, pihak masjid telah menasihatkan jemaah secara baik tentang pagar yang akan ditutup apabila kapasiti telah penuh, namun mereka tetap memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku pada Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mujahid Yusof, masjid, tular, VIP