BAGI kebanyakan wanita, bra dianggap pakaian asas yang tidak boleh ditinggalkan.
Ia dipakai ke tempat kerja, ketika keluar rumah dan malah ada yang memilih untuk memakainya ketika tidur.
Namun, persoalan yang sering bermain di fikiran adalah perlukah bra dipakai sepanjang masa dan adakah ia benar-benar penting untuk kesihatan payudara?
Walaupun bra sering dikaitkan dengan sokongan, penampilan dan keyakinan diri, hakikatnya pemakaiannya bukan sekadar soal fesyen.
Ada juga yang menganggap bra menyakitkan, menyekat pergerakan dan tidak selesa terutamanya jika tidak sesuai saiz.
Untuk memahami isu ini dengan lebih jelas, kita perlu mengenali struktur payudara itu sendiri.

Pemakaian bra adalah pilihan peribadi dan bergantung kepada keselesaan serta keperluan individu.
Menurut Pakar Bedah Am (Payudara) di Hospital Mount Elizabeth Novena, Dr Sabrina Ngaserin, payudara terdiri daripada tisu kelenjar (penghasilan susu), tisu berserat yang memberi sokongan dalaman, lemak serta saluran susu.
Keseluruhan struktur ini disokong oleh kulit dan ligamen Cooper iaitu jalur berserat yang berfungsi menambat tisu payudara ke dinding dada.
Ligamen inilah yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan bentuk payudara.
Kenapa bra penting?
Bra yang dipakai dengan betul memberi sokongan struktur kepada payudara dan membantu mengurangkan tekanan terhadap ligamen Cooper.
Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Payudara Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Profesor Madya Lim Geok Hoon berkata, pemakaian bra yang menyokong dengan baik boleh membantu mengurangkan sakit payudara serta memperbaiki postur badan.
“Wanita yang mempunyai payudara besar atau sedang menyusu amat memerlukan sokongan bra bagi mengelakkan ketidakselesaan,” jelasnya.

Bra yang dipakai dengan saiz dan padanan yang betul dapat memberikan sokongan, mengawal pergerakan payudara dengan lebih baik. — Gambar hiasan
Tetapi kalau tidak selesa?
Tidak semua wanita selesa memakai bra sepanjang masa dan itu bukan satu kesalahan.
Menurut Dr Ngaserin, wanita bebas memilih alternatif seperti pelekat penutup puting atau bra pelekat yang memberi liputan minimum tanpa sokongan berlebihan.
Malah, ada juga yang memilih untuk tidak memakai bra langsung atas faktor keselesaan atau ekspresi diri.
“Pemakaian bra adalah pilihan peribadi. Tiada pendekatan yang sesuai untuk semua wanita, sama ada dari segi fizikal mahupun emosi,” katanya.
Mitos yang perlu diperbetulkan
Antara mitos paling popular ialah dakwaan bahawa bra khususnya bra berwayar boleh meningkatkan risiko kanser payudara.
Dr Ngaserin menegaskan bahawa tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan tersebut. Kajian populasi menunjukkan tiada kaitan antara pemakaian bra dengan risiko kanser payudara.
“Mitos ini mungkin berpunca daripada kepercayaan bahawa bra menyekat aliran limfa dan memerangkap toksin, sedangkan secara saintifik, dakwaan ini tidak berasas,” jelasnya.
Faktor seperti umur mula memakai bra, tempoh pemakaian harian, saiz cawan atau reka bentuk wayar juga tidak mempengaruhi risiko kanser.
Perlu pakai bra ketika tidur?
Tiada bukti perubatan menunjukkan tidur dengan atau tanpa bra memberi kesan baik atau buruk kepada kesihatan.
Namun, ada wanita memilih memakai bra ketika tidur bagi mengurangkan sensitiviti puting akibat geseran kain.
Sekali lagi, ia bergantung sepenuhnya kepada keselesaan individu.

Pemakaian bra sokongan ketika bersenam disarankan bagi mengurangkan tekanan pada payudara. — Gambar hiasan
Pemakaian bra semasa bersenam
Berlainan pula ceritanya ketika bersenam. Dr Ngaserin menegaskan bahawa bra sokongan khas untuk senaman amat penting, terutamanya semasa aktiviti berimpak tinggi seperti berlari atau aerobik.
“Tanpa sokongan mencukupi, pergerakan berulang boleh memberi tekanan berlebihan kepada ligamen payudara dan meningkatkan risiko payudara kendur, terutamanya bagi wanita berpayudara besar,” katanya.
Bahaya bra yang tidak sesuai dengan saiz
Lebih 80 peratus wanita dipercayai memakai bra yang salah saiz, sama ada terlalu kecil, terlalu ketat atau tidak lagi sesuai dengan perubahan badan.
Menurut Dr Ngaserin, faktor seperti perubahan berat badan, hormon, kehamilan dan penuaan boleh menjejaskan saiz serta bentuk payudara.
Bra yang tidak sesuai boleh menyebabkan sakit bahu, belakang, payudara, kesan merah pada kulit, lekukan tali bahu dan dalam kes tertentu, menjejaskan pernafasan ketika bersenam.
“Wanita dengan payudara besar berisiko mengalami sakit belakang kronik dan postur badan yang buruk jika memakai bra yang tidak sesuai,” tambah Prof Madya Lim.
Seiring usia, sokongan semula jadi payudara akan semakin lemah. Tisu kelenjar dan berserat berkurangan, digantikan dengan lemak, manakala ligamen Cooper kehilangan keanjalan.
Faktor seperti graviti, turun naik berat badan, kehamilan, penyusuan, merokok dan pendedahan matahari berlebihan mempercepatkan proses kendur.
Walaupun bra tidak dapat menghalang kendur sepenuhnya, bra yang sesuai boleh mengurangkan tekanan berpanjangan pada struktur payudara dan membantu mengekalkan bentuk lebih lama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
