Demi teruskan hubungan sulit, isteri, kekasih pakat ragut 'nyawa' suami, rancangan jahat gagal!


  • Cinta
  • Selasa, 23 Dis 2025

Wanita tersebut merancang pembunuhan itu demi meneruskan hubungan sulit bersama kekasihnya. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEORANG wanita yang merancang bersama kekasih sulitnya untuk membunuh suaminya demi meneruskan hubungan cinta mereka dijatuhi hukuman penjara 19 tahun di Mahkamah Swansea, Wales.

Michelle Mills, 46, dan kekasihnya, Geraint Berry, 47, merancang untuk membunuh Christopher Mills yang juga bekas tentera pada 20 September tahun lalu.

Berry turut merekrut Steven Thomas, 47, untuk membantu melaksanakan serangan di karavan yang dikongsi Christopher bersama isterinya.

BACA LAGI: Bukan sekadar letak ubat tempat tinggi, tahap keselamatan tangga, balkoni, tingkap juga perlu ambil kira

BACA LAGI: 'Setiap huruf belajar kerana ALLAH', anak Abby Abadi raih 4 anugerah cemerlang di sekolah

Michelle Mills (kanan) merancang pembunuhan suaminya dengan kekasih, Berry (kiri). — Agensi

Serangan itu dirancang rapi dengan menggunakan topeng, pistol tiruan, topeng gas, tang dan pengikat kabel.

Christopher cedera teruk, tetapi berjaya menangkis serangan sehingga Berry dan Thomas terpaksa melarikan diri dan bersembunyi dalam semak.

Michelle kemudian menghubungi polis, mendakwa tidak mengetahui identiti penyerang bertopeng.

Mahkamah mendengar bahawa Berry menjalinkan hubungan sulit dengan Michelle selama tiga bulan sebelum serangan dan berkongsi rancangan membunuh suaminya.

Pasangan itu turut merancang agar serangan kelihatan seperti bunuh diri dan menyediakan nota palsu yang menuduh Christopher melakukan jenayah terhadap isterinya.

Hakim Nicklin KC menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun ke atas Michelle dan Berry atas tuduhan merancang membunuh.

Michelle turut menerima 18 bulan penjara tambahan kerana menghalang siasatan, manakala Berry dijatuhi hukuman sama kerana memiliki pistol tiruan.

Thomas yang memainkan peranan sebagai sekutu Berry dijatuhi 12 bulan penjara kerana memiliki pistol tiruan.

Hakim berkata, teks mesej antara Berry dan Michelle yang dihapuskan oleh Michelle tetapi tidak oleh Berry menunjukkan 'realiti mengerikan' rancangan itu yang gagal kerana keberanian Christopher menangkis serangan.

Beliau menegaskan, Michelle sedar mesej itu boleh menjejaskan dirinya, tetapi tetap mendorong Berry melaksanakan rancangan itu.

Christopher berkata, beliau terkejut dengan kejamnya rancangan tersebut dan merasa kecewa kerana isterinya menjalinkan hubungan sulit.

Selepas serangan itu, beliau mengalami tekanan mental, mudah cemas, sukar mempercayai orang lain dan menjadi lebih pendiam.

Mangsa menekankan bahawa kehidupannya kini berubah sepenuhnya dan beliau lebih berhati-hati serta berjaga-jaga dalam hubungan dan kehidupan harian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram