
KOLABORASI eksklusif antara jenama mewah Perancis, Moynat bersama artis terkenal Kasing Lung, pencipta siri karakter ikonik The Monsters adalah diluar jangka malah membuatkan komunita fesyen global amat teruja.
Koleksi kapsul edisi terhad ini menggabungkan warisan kraf kulit halus Moynat dengan dunia fantasi yang penuh imaginasi hasil karya Lung.
Kasing Lung, yang dikenali melalui karakter Labubu, Zimomo, dan King Mon, memperoleh inspirasi daripada mitologi Nordik serta pelbagai kisah dongeng.
BACA LAGI: Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi
Sejak memperkenalkan trilogi The Monsters pada tahun 2015, ciptaannya menjadi koleksi 'collectable' para peminat seni seluruh dunia.
Bagi koleksi kali ini, karakter unik The Monsters dihidupkan semula pada beberapa rekaan beg kanvas dengan cetakan monogram Moynat.
Koleksi ini turut merangkumi aksesori kulit kecil termasuk pemegang kad, penutup pasport dan charms yang menampilkan keseimbangan antara keanggunan artisan Perancis dan naratif penuh fantasi.
Kemunculan Michelle Yeoh bersama beg-beg bercetak ilustrasi Labubu nyata menghangatkan lagi kempen Moynat.
Namun, kempen visual Moynat yang menampilkan Tan Sri Michelle Yeoh, pemenang Anugerah Oscar dan ikon global dari Malaysia, telah berjaya meraih perhatian ramai.
Disertai oleh nama besar lain seperti aktor, Tony Leung dan ikon penerbitan fesyen, Carine Roitfeld, kehadiran Yeoh memperkukuhkan lagi imej Moynat sebagai jenama yang meraikan seni, keanggunan dan kepelbagaian budaya.
Menariknya, strategi Moynat kini turut menyasar generasi muda dan penggemar fesyen urban, seiring dengan trend yang dipelopori jenama lain.
Dengan pendekatan ini, Moynat bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai rumah fesyen bersejarah, tetapi juga mendekatkan diri dengan audiens muda yang dinamik, kreatif, dan bergaya.
Antara individu yang diberi keistimewaan menjinjing beg istimewa ini sebelum ia memasuki pasaran adalah Lisa Blackpink. - Agensi
Koleksi Moynat x Kasing Lung akan dilancarkan buat pertama kali di Shanghai pada 11 Oktober 2025 bersempena ulang tahun ke-10 The Monsters World Tour Exhibition, sebelum diedarkan secara eksklusif di butik Moynat di bandar-bandar terpilih sehingga awal 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram