
Jenama fesyen tersohor tempatan, Fiziwoo, sekali lagi mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai rakan kolaborasi pertama Luckin Coffee di Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Kolaborasi bersejarah ini melahirkan Stor Konsep Luckin Coffee x Fiziwoo di Pavilion Damansara Heights dengan tema 'Rasa Merdeka, Gaya Malaysia', yang bukan sahaja menonjolkan seni fesyen kontemporari, tetapi juga mengangkat warisan Malaysia ke dalam budaya kopi moden.
Fiziwoo, yang sinonim dengan rekaan elegan serta penuh naratif budaya, tampil dengan koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada elemen ikonik Luckin Coffee iaitu biji kopi dan rusa.
BACA LAGI: [VIDEO] Cabaran urus Airbnb: Rumah bersepah, bil elektrik melambung, tetapi hasil cecah RM112,000
Rekaannya diperindah dengan sulaman manik serta kristal halus, menghasilkan adibusana buatan tangan yang luar biasa. Koleksi ini turut memberi penghormatan kepada tiga pakaian tradisional Malaysia. Baju kebaya, sari dan qi pao ditafsirkan semula dengan sentuhan moden tanpa menghilangkan nilai tradisi.
Pengarah Urusan Fiziwoo, Izree Kai Haffiz, menyifatkan kolaborasi ini sebagai kesinambungan misi jenama tersebut untuk memelihara dan menyampaikan cerita warisan melalui fesyen.
“Setiap corak batik adalah kisah yang diwarisi. Kami mahu cerita itu terus hidup, bukan sahaja dalam bentuk busana, tetapi juga melalui pengalaman baharu seperti kopi, suasana dan gaya hidup. Kolaborasi ini memberi peluang untuk masyarakat menghayati warisan Malaysia dalam cara yang lebih dekat dan tidak dijangka.”
Kejayaan Fiziwoo hari ini tidak terlepas daripada sejarah perjalanan mereka yang bermula secara sederhana. Dari kejayaan awal dalam pertandingan seperti Piala Seri Iman dan Piala Seri Endon, kini Fiziwoo kembali bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai mentor dan juri, justeru membuktikan evolusi serta komitmen mereka terhadap dunia fesyen tanah air.
Kolaborasi dengan Luckin Coffee menambah satu lagi pencapaian penting, menjadikan fesyen sebagai jambatan untuk menghubungkan tradisi, komuniti dan inovasi gaya hidup.
Sementara itu, Luckin Coffee menyatakan keterujaan terhadap kerjasama ini. Ketua Pegawai Eksekutif Luckin Coffee Malaysia, Dr. Jeff Lim Chee Lip, berkata, “Bersama Fiziwoo, kami meraikan semangat kebangsaan dalam bentuk kreatif. Ia bukan sekadar tentang kopi, tetapi tentang mencipta ruang di mana budaya, hubungan dan komuniti dapat bersatu.”
Menambahkan lagi kemeriahan, Luckin Coffee memperkenalkan empat minuman khas berinspirasikan rasa tempatan sepanjang bulan September. Antaranya Iced Minty Coconut Latte, Iced Minty Chocolate Frappe, Pandan Coconut Latte dan Mango Jasmine Frappe.
Orang ramai kini berpeluang menikmati sendiri pengalaman gabungan fesyen dan kopi di cawangan Luckin Coffee yang terletak di Aras 2, Pavilion Damansara Heights. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram