
Penantian peminat Flying Tiger Copenhagen di Lembah Klang kini berakhir apabila PT Mitra Adiperkasa Tbk (MAP) mengumumkan pembukaan rasmi cawangan keduanya di tingkat 2, The Gardens Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Pembukaan ini menyusul kejayaan pelancaran pertama di AEON Mall Tebrau, Johor Bahru, pada hujung Julai lalu.
Langkah ini mengukuhkan komitmen MAP untuk memperkenalkan lebih banyak produk gaya hidup unik, kreatif dan mampu milik dari Denmark kepada pelanggan di Malaysia.
BACA LAGI: Jenama fesyen mewah mula beralih kepada perabot dan dekorasi rumah
BACA LAGI: Visi hijau arkitek wanita Thailand ubah hutan konkrit Bangkok
Flying Tiger Copenhagen, yang diasaskan pada 1995, kini beroperasi dengan lebih 1,000 cawangan di 39 pasaran global.
Jenama ini terkenal dengan koleksi produk berinspirasi rekaan Denmark yang ceria dan berpatutan; meliputi kelengkapan rumah, alat tulis, permainan, elektronik, barangan parti, hobi dan kecantikan.
Ketua Pegawai Operasi MAP Fashion Division, Michele Wibisono, berkata, “Kami gembira melihat perkembangan positif dengan pembukaan cawangan baharu ini. Ia menandakan permulaan kerjasama strategik yang akan memperkukuh misi MAP untuk menawarkan gaya hidup berkualiti, menyeronokkan dan bermakna buat pelanggan di Malaysia.”
Barangan serba guna termasuk objek deko dan lilin antara produk yang ditawarkan oleh Flying Tiger Copenhagen.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Flying Tiger Copenhagen, Martin Jermiin berasa amat teruja dengan pengalaman Flying Tiger Copenhagen akhirnya berjaya menembusi pasaran Malaysia.
"Pasaran ini begitu dinamik dan sesuai dengan semangat kreatif jenama kami. Kerjasama dengan MAP yang memahami pasaran tempatan menjadikan pengembangan ini lebih istimewa,” katanya.
Selain memperluas jenama di Asia, perkongsian eksklusif ini turut menyokong agenda kelestarian MAP.
Dengan rangkaian harga berpatutan dan kepelbagaian pilihan produk, Flying Tiger Copenhagen pasti menarik minat pembeli dari semua peringkat umur.
Flying Tiger Copenhagen, yang merupakan ahli United Nations Global Compact, komited menjalankan operasi perniagaan secara beretika dan bertanggungjawab daripada pemilihan bahan mentah, logistik, operasi kedai hingga produk akhir.
Kerjasama ini mencerminkan usaha bersama MAP dan Flying Tiger Copenhagen dalam menawarkan pilihan lebih lestari kepada pengguna, seiring misi global memperkayakan gaya hidup tanpa memerlukan kos yang tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram