[VIDEO] Awalnya hanya demam biasa, tetapi akhirnya anak diserang jangkitan kuman dalam darah hingga meninggal, ibu kongsi detik paling pilu


  • Bonda
  • Jumaat, 05 Sep 2025

APA yang bermula dengan demam biasa bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidup seorang ibu, Ruma Unnie, apabila anaknya, Muhammad Al Faqih Uqail Muhammad Syaharil disahkan meninggal dunia.

Kehilangan anaknya itu pada 3 Julai lalu meninggalkan kesan yang mendalam dan sehingga kini Ruma masih sukar menerima kenyataan bahawa permata hatinya tiada lagi.

Dalam hantaran di media sosial, Ruma berkongsi detik-detik terakhir Faqih, yang membuatkan seluruh hidupnya terasa hampa. 

“Pada mulanya, adik cakap dia takut dengan semua yang ada di sini (hospital). Dia minta ummi buka oksigen sebab rimas. 

"Yang paling menyedihkan, ummi tak dapat dukung dia sebab tangan kiri dan kanan penuh drip. Ummi cuma boleh peluk dan pegang kaki serta tangan dia,” katanya.

BACA LAGI: 'Asap rokok kena anak-anak saya', bapa pilih sabar hadap perokok melenting demi jadi contoh baik depan anak dan isteri

BACA LAGI: 'Ibu bapa janganlah ambil kesempatan guna IC anak', wanita dedah kes pelanggan terkejut baki MySARA tinggal 60 sen, rupanya ibu guna senyap-senyap

Ruma mengakui, kehilangan anaknya adalah ujian paling berat yang pernah dilaluinya, melebihi segala cabaran keluarga, kewangan dan persahabatan sebelum ini. 

“Benarlah kata Ustaz Wadi, dunia bukan tempat bersenang-lenang. Dunia tempat untuk lalui ujian ALLAH. Namun, hati ummi masih belum mampu menerima kehilangan ini sepenuhnya,” tambahnya.

Mengimbau kenangan sehari sebelum demam, Ruma melihat gelagat anaknya ketawa dengan gembira yang dianggapnya kali pertama bersikap begitu. 

Keesokan harinya, demam yang biasanya cepat reda bertukar menjadi situasi serius. 

Anaknya menjadi lemah sehinggakan Ruma segera membawa Faqih ke hospital pada waktu tengahari.

Di hospital, keadaan Faqih menjadi kritikal. Doktor memaklumkan, jangkitan kuman dalam darah menyebabkan nadi mencecah 180 dan paru-parunya diserang virus. 

"Dia dipindahkan ke HTAN, ditempatkan di zon merah, dan oksigen mula menurun sehingga 40. Pelbagai usaha dilakukan doktor untuk menstabilkan pernafasannya.

“Sebelum intubate, air keruh keluar dari mulut anak. Ummi tak sedap hati, tetapi kuatkan hati bahawa dia akan sembuh. 

"Akhirnya, intubate adalah jalan paling cepat untuk bantu pernafasannya,” kata Ruma.

Namun, jantung anaknya berhenti selama 14 minit sebelum kembali berdenyut.

Kesedihan bertambah apabila pada petang 30 Jun, Ruma diberitahu bahawa anaknya mengalami kecederaan otak serius, tanpa sebarang respon dari otak dan jantungnya turut diserang virus kuman. 

Doktor menasihati Ruma dan suaminya agar reda lebih awal kerana itu jalan terbaik.

Pada pukul 1:49 pagi, 3 Julai, Ruma menyaksikan detik paling pedih dalam hidupnya apabila anak tersayang pergi meninggalkannya untuk selamanya.

"Ummi dan daddy menyaksikan detik terakhir dari merah ke birunya anak, dan nadi terakhirnya. Tiada kata yang mampu sembuhkan hati ibu yang kehilangan jantungnya. 

"Setiap hari, rindu ini masih begitu perit, dan ummi masih sukar terima kenyataan ini,” tulis Ruma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Artikel Berkaitan: