CINTA kepada Rasulullah SAW adalah anugerah terbesar yang menjadi tanda keimanan seseorang Muslim.
Mahabbah ini bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi rasa halus yang mengikat hati dengan insan mulia yang paling banyak berkorban demi umat.
Baginda SAW adalah cahaya petunjuk, teladan sempurna dan penyelamat di dunia serta pemberi syafaat di akhirat.
BACA LAGI: Lima sifat Sayyidah Khadijah al-Kubra wajar diteladani wanita berkerjaya hari ini
BACA LAGI: Setelah menggali sedalam-dalamnya, ternyata al-Quran bukanlah kitab biasa-biasa — Prof. Gary Miller
Justeru, menanamkan cinta dan kasih kepada Nabi SAW sejak kecil merupakan asas penting bagi membina sahsiah anak-anak agar mereka membesar dengan jati diri Islam yang kukuh dan berakhlak mulia.
Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor menegaskan, usaha memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada anak-anak perlu bermula sejak awal usia.
“Ibu bapa boleh memulakan dengan memperkenalkan nama, kasih sayang dan akhlak Rasulullah SAW melalui doa dan cerita ringkas sejak anak kecil.
"Misalnya, ketika menidurkan anak, sebutkan nama Nabi SAW dan bacakan selawat. Ini menjadikan anak terbiasa mendengar nama Baginda SAW dalam suasana penuh kasih sayang,” jelas beliau kepada Majoriti.
Dr Khairunneezam memetik firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 yang menjadi sandaran utama terhadap perkara tersebut yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.”
Menurut beliau, apabila ibu bapa menjadikan Nabi SAW sebahagian daripada rutin keluarga, anak-anak akan mengenal Baginda SAW bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi idola sepanjang hayat.
"Bagi memastikan anak-anak bukan sahaja mengenal kisah Nabi SAW tetapi juga menumbuhkan rasa cinta, ibu bapa perlu menekankan kepentingan mengaitkan sifat Baginda SAW dengan situasi seharian.
“Ceritakan sifat sabar, jujur dan penyayang Baginda SAW, lalu kaitkan dengan situasi anak.
"Misalnya, jika anak berkongsi makanan, pujilah dengan menyebut, ‘Itulah akhlak Nabi kita’,” katanya.
Beliau turut mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam dunia moden masa kini, anak-anak mudah terpengaruh dengan tokoh hiburan atau watak superhero yang sering menjadi idola mereka.

Dr Khairunneezam berpendapat, ibu bapa perlu kreatif bagi menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role model utama anak-anak.
“Jika anak mengagumi superhero kerana keberanian, terangkan bahawa Rasulullah SAW jauh lebih hebat kerana berani di medan perang tetapi tetap lembut kepada keluarga dan kanak-kanak,” jelasnya lagi
Malah, firman ALLAH dalam Surah Al-Qalam ayat 4 turut menjadi pengukuh:
“Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang agung.”
Justeru, Dr Khairunneezam berpendapat, terdapat tiga elemen utama dalam membentuk jiwa anak agar dekat dengan Nabi SAW iaitu melalui sirah, selawat dan amalan harian.
“Sirah menjadikan anak memahami perjalanan hidup Nabi SAW, selawat pula menumbuhkan rasa cinta pada Baginda SAW dan amalan harian melatih anak mengikut sunnah,” ungkapnya.
Tambah beliau, terdapat banyak kelebihan berselawat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, ALLAH akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Riwayat Muslim)
Ujar beliau lagi, aelain ibu bapa, guru juga sebenarnya memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak mengenali Nabi SAW.
“Guru yang menampilkan akhlak Rasulullah SAW dalam tindakan seharian akan memberi impak besar kerana anak-anak belajar bukan sahaja daripada perkataan, tetapi juga perbuatan,” ujar Dr Khairunneezam.
Firman ALLAH dalam Surah Al-Jumu‘ah ayat 2 turut menekankan peranan Rasul sebagai pendidik yang membacakan ayat ALLAH, menyucikan jiwa serta mengajarkan kitab dan hikmah.
Mengulas mengenai kaedah yang boleh digunapakai untuk menyentuh hati anak-anak, Dr Khairunneezam berkata, ibu bapa perlu kepada pendekatan kreatif berbanding pengajaran normal.
Menurut Dr Khairunneezam, kisah Nabi SAW perlu dipersembahkan dalam bentuk yang menyeronokkan dan mudah difahami.
“Sirah Nabi SAW perlu disampaikan dengan cara kreatif iaitu melalui bahasa mudah, buku bergambar, nasyid atau lakonan ringkas.
"Misalnya, kisah Rasulullah SAW menyayangi kucing boleh disampaikan sambil bermain dengan kucing peliharaan yang ada di rumah,” katanya.
Apa yang pasti, cinta kepada Rasulullah SAW adalah benteng akhlak anak-anak dalam menghadapi cabaran dunia moden yang penuh fitnah.
“Anak-anak yang membesar dengan cinta kepada Nabi SAW akan lebih mudah menolak budaya yang merosakkan kerana mereka sudah mempunyai sandaran hidup yang jelas dan sahih,” kata Dr Khairunneezam.
Ia sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 yang menegaskan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai ALLAH, maka ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosamu.”
Dengan usaha berterusan daripada ibu bapa, guru dan institusi pendidikan, generasi muda dapat dibentuk sebagai insan berakhlak mulia sekali gus menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola sebenar sepanjang hayat.
Tip praktikal menanamkan akhlak Nabi SAW dalam diri anak
1. Mulakan dengan teladan ibu bapa dan pendidik sendiri, kerana anak lebih mudah meniru apa yang dilihat.
2. Latih anak melalui amalan kecil tetapi konsisten seperti memberi salam, mengucapkan terima kasih, menjaga kebersihan dan makan dengan tangan kanan.
3. Kaitkan setiap perbuatan baik anak dengan akhlak Rasulullah SAW supaya mereka tahu teladan itu datang daripada Baginda SAW.
4. Gunakan pendekatan sirah dan aktiviti praktikal seperti simulasi adab Nabi SAW ketika bergaul dengan sahabat.
5. Wujudkan suasana rumah dan sekolah yang berteraskan nilai Islam seperti membaca doa bersama atau berselawat dalam aktiviti harian.
Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad)
Semoga rasa kasih, cinta dan sayang pada Baginda SAW menjadi asbab kita beroleh syafaat dan dihimpunkan bersama Rasulullah SAW di hari perhitungan kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
