
BAGAIMANA seni bina boleh menghubungkan kanak-kanak dengan alam semula jadi, budaya dan ruang permainan?
Soalan ini semakin penting apabila bandar-bandar moden terus berkembang dengan pesat.
Ramai pakar seni bina percaya, semakin mesra sebuah kota kepada kanak-kanak, semakin baiklah ia untuk semua penduduk.
BACA LAGI: Mercu tanda negara bakal disimbahi pancaran Jalur Gemilang, projeksi imersif simbolik era baharu
BACA LAGI: Ujian CT boleh bagi amaran awal serangan jantung senyap
Sejak hujung abad ke-20, pelbagai projek antarabangsa mula memfokuskan seni bina mesra kanak-kanak.
Contohnya di Rosario, Argentina, projek 'City of Children' dan Tríptico de la Infancia diwujudkan bersama UNICEF untuk membina ruang awam khusus untuk permainan, pembelajaran dan pertemuan komuniti.
Ia termasuk The Children’s Garden, The Childhood Farm, dan The Island of Inventions iaitu ruang yang menggabungkan permainan, sains, seni dan hubungan dengan alam.
Di Uruguay pula, kampus baharu direka Rosan Bosch Studio dibina dalam hutan eucalyptus, mewujudkan pengalaman belajar dalam dan luar bilik darjah berasaskan prinsip biophilic design.
Sementara itu, di Cameroon, African Flow Kindergarten diolah sebagai ekosistem mini (gunung, savana, kampung dan hutan) untuk menghubungkan kanak-kanak dengan asal-usul budaya mereka.
Kampus baharu direka Rosan Bosch Studio di Uruguay.
Selain hubungan dengan alam, ada projek yang memulihkan infrastruktur lama dan memberinya nafas baharu untuk kanak-kanak.
Di Rosario, stesen kereta api lama diubah menjadi La Isla de los Inventos, manakala projek Tainan Spring di Taiwan menukar terusan lama kepada dataran awam dengan taman, ruang permainan air dan ruang komuniti.
Ia membolehkan kanak-kanak bermain sambil mengenali sejarah kota mereka.
Di Jepun, FK Kindergarten & Nursery di Fukahori pula memanfaatkan topografi bukit curam sebagai sebahagian kawasan permainan, menjadikan alam sekitar sebati dengan kehidupan seharian pelajar.
Tainan Spring di Taiwan menukar terusan lama kepada dataran awam.
Ruang awam untuk kanak-kanak kini turut menekankan nilai kelestarian.
Taman permainan semula jadi seperti di Jaworek Park, Poland, menggabungkan elemen permainan daripada bahan semula jadi, denai berpusing dengan tumbuhan, serta taman hujan yang menyokong kitaran air semula jadi dan biodiversiti.
Projek seperti Kid Cabin di Thailand pula lebih kecil tetapi tetap menekankan kesederhanaan, permainan dan hubungan langsung dengan alam.
Daripada taman permainan kecil hingga ke kampus pendidikan berskala besar, seni bina kini semakin melihat kanak-kanak sebagai pusat reka bentuk.
Dengan menggabungkan budaya, sejarah dan alam sekitar, projek-projek itu bukan sahaja menyediakan ruang bermain, tetapi juga membentuk generasi yang lebih berdaya imaginasi, sihat, serta mempunyai kesedaran ekologi.
Persoalannya kini, bagaimana kita di Malaysia boleh mengangkat semula konsep seni bina mesra kanak-kanak, agar warisan, alam sekitar dan pendidikan dapat bersatu dalam membentuk masa depan yang lebih mampan? — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram