
HYATT Regency Kuala Lumpur di KL Midtown telah dibuka secara rasmi pada Selasa, menandakan kemunculan semula jenama Hyatt Regency di ibu negara selepas hampir dua dekad.
Hotel bertaraf lima bintang ini juga menjadi komponen pertama yang beroperasi di dalam pembangunan KL Midtown, sekali gus mengukuhkan kedudukan kawasan itu sebagai destinasi baharu perniagaan, gaya hidup dan acara global.
Pembangunan KL Midtown diketuai oleh KL Midtown Sdn Bhd, iaitu usaha sama antara Hap Seng Land Sdn Bhd dan TTDI KL Metropolis Sdn Bhd, anak syarikat Naza TTDI Sdn Bhd.
BACA LAGI: Padam impian jadi akauntan, 'human calculator' angkat matematik jadi teras kandungan media sosial
Peranan Naza TTDI amat signifikan kerana KL Midtown merupakan sebahagian daripada pelan induk KL Metropolis, pembangunan seluas 75.5 ekar yang dipacu oleh Naza TTDI.
Merealisasikan projek Hyatt Regency Kuala Lumpur memperlihatkan komitmen berterusan kumpulan tersebut dalam membangunkan projek berskala besar yang memberi impak kepada landskap bandaraya.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin, turut hadir sebagai salah seorang tetamu kehormat yang merasmikan pembukaan hotel ini.
Hyatt Regency pemangkin KL Metropolis
KL Midtown dibangunkan di atas tanah seluas 8.95 ekar dalam kawasan KL Metropolis dan bakal menampilkan pelbagai komponen lain termasuk 500,000 kaki persegi ruang runcit, menara korporat, kediaman mewah serta pusat beli-belah AEON.
Kehadiran Hyatt Regency Kuala Lumpur sebagai projek pertama yang siap bukan sahaja memberi tarikan antarabangsa, malah melengkapkan ekosistem KL Metropolis yang turut menempatkan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Direka oleh arkitek tersohor Jepun, Kengo Kuma, hotel ini menawarkan 306 bilik tetamu dan suite, di samping 104 kediaman servis.
Dengan 16 ruang acara fleksibel merentasi tiga tingkat, termasuk ballroom tanpa tiang serta bilik mesyuarat berteknologi tinggi, Hyatt Regency Kuala Lumpur disasarkan sebagai hab mesyuarat dan acara antarabangsa.
Kemunculan Hyatt Regency Kuala Lumpur juga membawa nostalgia kerana ia menandakan kepulangan semula jenama ini ke pasaran tempatan, selepas Hyatt Regency Saujana berhenti beroperasi lebih 20 tahun lalu.
Dengan pelancaran ini, Hyatt kini memiliki tujuh hartanah di Kuala Lumpur, termasuk Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur yang dibuka Disember lalu dan Park Hyatt di menara ikonik Merdeka 118 yang dilancarkan awal bulan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram