
SAMA ada anda meneguk espresso pekat sebelum memulakan hari atau menikmati latte panas sambil membaca buku, pilihan kopi anda boleh mendedahkan lebih daripada sekadar cita rasa.
Menurut kajian oleh Kristin Lantzy, terdapat hubungan menarik antara jenis kopi yang diminum dan ciri-ciri personaliti peminumnya.
Kajian ini menunjukkan bahawa sesetengah individu sangat teliti dalam memilih kopi dan tingkah laku ini sering selari dengan sikap serta tabiat harian mereka.
Mari kita teroka maksud tersirat di sebalik pesanan kopi anda:
BACA LAGI: Serlah identiti Malaysia, ini 5 jenama tempatan patut disokong menjelang Merdeka
1. Kopi hitam atau espresso
Penggemar kopi hitam atau espresso selalunya seorang yang menghargai kesederhanaan dan kecekapan. Mereka cenderung bersikap praktikal, berdisiplin, dan tegas dalam membuat keputusan. Dalam hidup, mereka mengutamakan keaslian berbanding hiasan atau gaya.
Kajian oleh University of Innsbruck, Austria, mendapati peminat kopi hitam cenderung memiliki personaliti yang lebih analitik, bebas, dan kadangkala dominan.
2. Latte
Jika latte adalah pilihan utama anda, anda mungkin seorang yang lembut hati, empati dan suka menjaga hubungan. Anda menghargai suasana yang tenang dan selesa, serta lebih gemar berbual panjang sambil menikmati aroma kopi berkrim.
Penggemar latte biasanya lebih terbuka kepada perubahan tetapi tetap mencari kestabilan dari segi emosi dan persekitaran.
3. Kopi ais
Tetap memilih kopi ais walaupun cuaca sejuk? Itu tanda anda seorang yang spontan, setia, dan mudah menyesuaikan diri. Anda hidup dalam dunia yang pantas dan sukakan sesuatu yang praktikal serta menyegarkan. Gaya anda tenang tapi efisien.
Dalam kehidupan masa kini, peminum kopi ais sering digambarkan sebagai trendsetter yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, dari fesyen hingga teknologi.
4. Kopi bermusim
Penggemar kopi bermusim biasanya seorang yang menghargai tradisi, kenangan dan suka menyambut musim perayaan. Anda tidak kisah menunggu sepanjang tahun hanya untuk menikmati minuman edisi terhad dan itu mencerminkan jiwa anda yang romantik dan sentimental.
Menurut laporan Google Trends, carian untuk 'pumpkin spice latte' meningkat hampir 500 peratus setiap kali tiba musim luruh. Ini menunjukkan betapa kuatnya kuasa nostalgia dalam pilihan kopi!
Kajian mengaitkan jenis kopi dengan personaliti, ia bukanlah penilaian mutlak.
Pilihan kopi sebenarnya sangat peribadi dan turut dipengaruhi oleh faktor seperti budaya, latar belakang keluarga, dan pengalaman hidup.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa setiap pesanan membawa maknanya tersendiri. Dari si minimalis yang sukakan kopi hitam hinggalah si nostalgik dengan minuman bermusim, setiap cawan mencerminkan sebahagian kecil dari siapa anda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram