'Anak menantu pun bantu jemur tilam', peguam kongsi isteri tuntut fasakh gara-gara suami perokok kerap kencing malam


  • Cinta
  • Rabu, 23 Jul 2025

Masalah melibatkan kebersihan dalam rumah tangga juga boleh menguji kesabaran pasangan. — Gambar hiasan/Janaan AI

DALAM perkahwinan, setiap pasangan pasti berdepan ujian dan cabaran tersendiri.

Namun, apabila cabaran itu melibatkan isu kebersihan dan maruah, kesabaran pasangan boleh teruji.

Baru-baru ini, seorang wanita yang sudah bergelar peguam lebih 14 tahun berkongsi satu pengalaman menyelesaikan kes perceraian yang dianggap luar biasa dan sehingga kini masih diingatnya.

BACA LAGI: Elak guna emoji, ayat manja ketika bermesej, boleh jadi ‘pintu masuk’ godaan emosi hingga berlakunya penceraian — Peguam syariah

BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat

Menurut peguam tersebut, beliau pernah mewakili seorang wanita berusia yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh terhadap suaminya beberapa tahun lepas.

Pada awalnya, alasan yang diberikan kelihatan tidak begitu kukuh. Namun selepas berkali-kali soalan ditanyakan, barulah wanita itu membuka cerita sebenar.

"Masa jumpa, saya dapati alasan mak cik itu tak berapa kuat. Tanya punya tanya barulah mak cik tu nak bercerita. Rupanya beliau nak mohon cerai sebab tak tahan dengan tabiat suami kencing malam," kongsinya

Lebih menyedihkan, suaminya yang berusia lingkungan 40-an dan merokok itu langsung tidak mengambil inisiatif untuk mendapatkan rawatan perubatan, meskipun masalah itu berlarutan sejak sekian lama.

"Ini adalah perkahwinan kedua makcik. Jadi, anak-anak perkahwinan pertama semua dah besar dan dah ada menantu juga.

"Semasa keterangan di mahkamah, anak-anak menantu bagitahu ada bantu angkat tilam hancing itu juga untuk jemur," ceritanya lagi.

Difahamkan, perkahwinan mereka pada ketika itu sudah mencecah lebih sedekad dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Pun begitu, suaminya tidak melakukan apa-apa usaha untuk merawat tabiat tersebut sehinggalah si isteri akhirnya memilih untuk tidur berasingan sebelum mengambil keputusan untuk bercerai.

"Pak cik tu tak pernah jumpa doktor untuk merawat masalah berkenaan sehinggalah mak cik tak tahan dan tidur berasingan yang membawa kepada perceraian. Sedih tengok mak cik tu," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram