Gemma Chan dilantik duta global jenama barang kemas mewah terkemuka, sifatkan satu penghormatan


  • Gaya
  • Khamis, 29 Mei 2025

Beliau dilantik menjadi duta selepas lama terlibat dalam acara budaya anjuran Cartier. — Cartier

 

 

JENAMA barang kemas mewah terkemuka dunia, Cartier, secara rasmi mengumumkan pelakon dari British, Gemma Chan, sebagai duta terbaharunya.

Pelantikan tersebut bukanlah sesuatu mengejutkan berikutan beliau sebelum ini sudah lama menjalinkan kerjasama secara semula jadi dengan jenama dari Perancis itu melalui penyertaan dalam pelbagai acara budaya anjuran Cartier.

Gemma, 43, menyifatkan kerjasama itu sebagai satu penghormatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sapu muka dengan krim buasir? Pakar dedah risiko bahaya trend TikTok

BACA LAGI: Sikap terbuka atau berdikari? Kenali personaliti anda menerusi 10 gaya dekorasi rumah

“Saya sangat gembira menjadi duta untuk Maison Cartier dan berbesar hati mengumumkan berita ini pada acara yang menampilkan kreativiti dan kemahiran luar biasa di Stockholm.

"Saya sudah lama mengagumi keindahan dan kehalusan rekaan Maison dan saya tidak sabar untuk meneruskan kerjasama yang menarik ini," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk info, Gemma dilahirkan di London, ibu bapanya berketurunan Cina dari Hong Kong.

Beliau juga pernah membesar di Singapura dan dikenali dengan pelbagai peranan ikoniknya di layar perak dan kaca televisyen.

Antaranya termasuk siri popular Humans yang menerima pencalonan British Academy Film Awards (BAFTA), filem pecah panggung, Crazy Rich Asians serta suara latar dalam animasi pemenang Oscar, The Boy and the Heron.

Terkini, beliau membintangi filem The Actor bersama Andre Hollad dan bakal muncul dalam Josephine arahan Beth de Araujo yang digandingkan dengan Channing Tatum.

Gemma juga aktif di belakang tabir sebagai penerbit, termasuk pembangunan filem biopik tentang pelakon legenda Anna May Wong serta siri televisyen Rise of the Empress di Amazon MGM Studios.

Di luar bidang hiburan, beliau turut berperanan sebagai duta Unicef United Kingdom (UK), sekali gus memperkukuhkan imejnya sebagai figura berpengaruh yang komited terhadap penceritaan bermakna dan sumbangan terhadap masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram