[VIDEO] SPRM nafi acu senjata ketika tahan Albert Tei


  • Kes
  • Jumaat, 28 Nov 2025

SPRM menyerbu kediaman Albert Tei dan menahan ahli perniagaan itu pada Jumaat.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata terhadap ahli perniagaan, Albert Tei ketika penangkapan individu berkenaan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan yang dibuat di kediaman Albert pada Jumaat (28 November) itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

BACA LAGI: PM Anwar terima peletakan jawatan Shamsul Iskandar, tegaskan SPRM boleh siasat serta-merta

BACA LAGI: SPRM akui sukar bawa pulang menantu Muhyiddin — Azam Baki

"Satu laporan polis telah dibuat hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada pegawai SPRM yang terlibat.

"Laporan polis itu juga bagi memastikan tiada pihak menyebarkan maklumat yang tidak ditentusahkan, kemungkinan dengan tujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan SPRM," katanya.

Sebelum ini, peguam Zaid Malek mendakwa SPRM melakukan ‘pencerobohan paksa’ ke rumah ahli perniagaan Albert Tei sebelum menahan serta menggari anak guamnya itu pada Jumaat. 

Dakwa Zaid, beliau tiba di kediaman Albert di Puchong itu namun pegawai SPRM dan anggota polis yang berada di lokasi didakwa tidak membenarkannya masuk atau bertemu ahli perniagaan itu.

“Tiada seorang pun pegawai memperkenalkan diri. Kegagalan untuk mengenal pasti diri adalah angkuh dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, pegawai hanya bercakap dengannya selepas beliau mengambil gambar kejadian dan mendakwa mereka turut meminta untuk melihat telefonnya bagi memeriksa gambar yang dirakam.

Beliau berkata, anak guamnya kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari sambil dikelilingi beberapa pegawai bersenjata ‘memakai balaclava’, tindakan yang disifatkannya sebagai keterlaluan.

"Mereka seolah-olah menangkap seorang pengganas. Pegawai-pegawai itu enggan memperkenalkan diri atau menyatakan ke mana Albert dibawa. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka polis atau pegawai SPRM,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tindakan ini sangat mengejutkan apabila seorang pemberi maklumat atau pendedah rasuah ditahan sebegini, sedangkan Datuk Seri Shamsul Iskandar, individu yang dilaporkan tidak dikenakan sebarang tindakan setakat ini.

Lantaran itu, Zaid mendakwa tindakan tersebut melanggar hak Perlembagaan Albert untuk mendapatkan proses keadilan serta hak bertemu peguam. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram