Berlanjutan terlalu lama, Najib Razak dilepas tanpa dibebas kes SRC RM27 juta


  • Kes
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Najib Razak mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta pada 3 Februari 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim, K Muniandy membenarkan permohonan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.

“Tertuduh dilepas daripada semua pertuduhan dan diperintahkan DNAA. Pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini jika bersedia kelak,” kata hakim.

BACA LAGI: Ibu dihalang jumpa anak walau ada perintah mahkamah

BACA LAGI: Mahkamah tolak permohonan PM Anwar rujuk persoalan PM kebal daripada saman

Prosiding pada Jumaat dikendalikan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Untuk rekod, kes yang dibicarakan ini berbeza daripada satu lagi kes melibatkan Najib dan SRC.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta pada 3 Feb 2019.

Minggu lalu, peguamnya memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dengan alasan tuduhan terhadap anak guamnya sudah mengambil masa selama enam tahun.

Katanya, dokumen berkaitan kes SRC pertama sudah tersebar di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram