
PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) di Putra Heights dekat Subang Jaya, Selangor yang dibuka susulan insiden kebakaran saluran paip gas di kawasan tersebut, secara rasmi ditutup pada pukul 2 petang Ahad selepas semua mangsa berjaya dipindahkan ke penempatan baharu.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, penutupan itu dibuat selepas 60 keluarga terakhir meninggalkan PPS Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan keluarga yang dipindahkan sejak tragedi pada 1 April lalu mencecah 613.
"Alhamdulillah, hari ini kita menutup secara rasmi PPS di Dewan Camellia dan Dewan Masjid Putra Heights selepas semua mangsa memperoleh kediaman sementara atau tetap,” katanya memetik laporan Kosmo!.
BACA LAGI : Tragedi Putra Heights: Kontraktor antara 179 individu dirakam keterangan — Polis Selangor
BACA LAGI : [VIDEO] Polis JB reman pemandu mabuk rempuh maut 2 lelaki bantu mangsa kemalangan
Menurut Huzunul, sejak Khamis lalu, semua mangsa dimaklumkan untuk merancang perpindahan keluar secara berperingkat, sama ada kembali ke rumah masing-masing, menumpang di kediaman ahli keluarga atau berpindah ke penempatan sementara yang disediakan oleh kerajaan negeri.
"Mereka ditempatkan di pelbagai fasiliti seperti inap desa, Airbnb dan hotel yang ditaja oleh pihak Parlimen," jelasnya.
Jumlah keseluruhan keluarga yang dipindahkan sejak tragedi kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu mencecah 613.
Bagi meringankan beban mangsa, kerajaan negeri juga menanggung kos sewaan rumah selama sebulan, selain menyediakan bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan barangan dapur.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu sejak awal kejadian.
"Saya mewakili semua petugas dan agensi yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada ALLAH SWT serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan doa yang tidak putus-putus kepada mangsa tragedi," katanya.
Tambah beliau, kejayaan operasi pemindahan ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi penyelamat, pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram