Askar tumbuk pemandu wanita di Senawang mengaku tak bersalah rosakkan pintu kereta mangsa


Video tular memaparkan Abdul Hafiz Abu Bakar (baju merah) menumbuk seorang pemandu wanita di Senawang pada 29 Mac lalu.

SEORANG anggota tentera berusia 35 tahun meminta untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan menyebabkan kerosakan terhadap kereta milik seorang wanita dalam satu insiden kekasaran di atas jalan raya.

Abdul Hafiz Abu Bakar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas ia dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wanita berusia 28 tahun terbabit sekitar pukul 10.20 malam, 29 Mac lalu di Taman Satria, Senawang.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Seremban tahan anggota tentera tumbuk pemandu wanita tak sengaja langgar anak, isteri

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC

Dia didakwa melakukan aniaya kerana menyebabkan kerosakan pada pintu pemandu kenderaan berkenaan.

Abdul Hafiz didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudian memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 sementara menunggu sebutan semula kes.

Tertuduh yang diwakili Syed Fadil Syed Othman meminta jumlah jaminan lebih rendah memandangkan dia perlu menyara isteri dan dua anaknya yang masih kecil.

Tertuduh, katanya, juga bukan individu berisiko untuk melarikan diri dengan terbang ke luar negara kerana sudah hadir secara sukarela di mahkamah.

Majistret Nurul Saqinah kemudian menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin, tertuduh juga meminta dibicarakan atas pertuduhan menumbuk mangsa sama di tempat dan masa yang sama.

Dalam perbicaraan tersebut, dia diikat jamin RM2,000.

Menurut laporan media, mangsa mengalami lebam di rusuk kanan dan bengkak di belakang kepalanya dalam kejadian tersebut.

Insiden terbabit berlaku apabila wanita itu yang sedang memandu kereta gagal mengelak daripada melanggar isteri lelaki itu, 34, dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun yang secara tiba-tiba melintas jalan sehingga mengakibatkan cedera ringan pada kedua-duanya.

Video berdurasi 22 saat yang tular menunjukkan tertuduh menyerang pemandu wanita berkenaan dalam kejadian tersebut. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram