
DETIK cemas melanda seorang kanak-kanak lelaki apabila dia dibawa oleh arus deras semasa hujan lebat di Kota Masai, Johor.
Dalam kejadian yang tular di media sosial, dua kanak-kanak lelaki berumur lingkungan pelajar sekolah rendah sedang bermain hujan berhampiran Masjid Ciku, Kota Masai.
Namun malang tidak berbau, salah seorang daripada kanak-kanak lelaki itu tergelincir lalu jatuh ke dalam longkang besar.
Kanak-kanak itu yang dipercayai adik kepada seorang lagi kanak-kanak kemudiannya dihanyutkan oleh arus deras akibat hujan lebat itu dan ia menimbulkan suasana cemas.
Si abang cuba mengejar menyelamatkan adiknya namun dihalang oleh si perakam video kerana bimbang perkara lebih teruk berlaku.
Situasi cemas itu nyata menimbulkan kegusaran si abang apabila dia berkata kepada si perakam, "ALLAHUAKBAR, adik aku."
"Abang, tolong adik saya abang," kata si abang kepada perakam sambil menunjukkan arah adiknya dibawa arus deras.
Mujur buat kanak-kanak itu apabila dia dikatakan tersangkut pada longkang tersebut dan dapat diselamatkan.
Si perakam kemudiannya membawa pulang kedua-dua kanak-kanak itu dengan selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram