SAKSI kes kematian pelajar sekolah menengah di Meru Raya, Ipoh, Perak dua tahun lalu mendedahkan bahawa kesan corak pakaian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak sepadan dengan tayar Perodua Ativa yang dipandu pegawai polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak.
Memetik laporan Buletin TV3, pendedahan itu dimaklumkan berdasarkan hasil analisis forensik kriminalistik yang juga mengesahkan bahawa kesan geseran dan koyakan pada pakaian Muhammad Zaharif adalah akibat bergeser dengan permukaan keras serta kasar.
Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S Dasarathan, 46, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata, kesan geseran dan kesan koyakan pada baju-T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas dan kasut mangsa adalah konsisten bergeser dengan permukaan dinyatakan.
BACA LAGI: Kes bunuh Zaharif: Tiada rakaman kemalangan ditemui dalam kad memori 'dashcam'
BACA LAGI: Langgar pelajar di Ipoh: Bukti sahkan berlaku perlanggaran antara motosikal dan kereta pegawai polis
Kesan corak pakaian Muhammad Zaharif didapati tidak sepadan dengan tayar kereta Mohd Nazri.
Katanya, walaupun terdapat kesan tekapan bercorak pada baju-T dan seluar panjang itu, namun ia tidak dapat menentukan sama ada kesan terbabit adalah kesan tayar ataupun tidak kerana tiada sampel perbandingan disertakan.
Beliau juga berkata, hasil analisis dilakukan ahli kimia turut mendapati kesan tekapan bercorak pada baju-T dan seluar panjang adalah tidak sepadan dengan kesan tekapan tayar pada kesemua bungkusan kertas.
Jelasnya lagi, analisis kimia terhadap spesimen darah Mohd Nazri dan Muhammad Zaharif pula mendapati bahawa kedua-dua suspek dan si mati bukan di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika insiden berlaku.
Tambahnya, perlanggaran berlaku apabila belakang motosikal Yamaha 135LC ditunggang Muhammad Zaharif berlanggar dengan hadapan sebelah kanan kereta Ativa terbabit.
Ia juga berdasarkan kerosakan dan penemuan kepingan cat asing serta bahan asing pada kenderaan terbabit.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh memaklumkan, tiada sebarang rakaman yang menunjukkan kejadian kemalangan ditemui pada kad memori kenderaan Ativa itu.
Mahkamah juga diberitahu bahawa kad memori dashcam tersebut juga pernah diakses, sehari sebelum ditemui polis.
Sementara itu, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif di persimpangan Jalan Taman Jati/Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, antara pukul 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram