DUA guru tadika didakwa bersama di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak atas pertuduhan meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki tanpa pengawasan munasabah, yang membawa kepada kematiannya selepas terjatuh ke dalam kolam renang pada April 2023.
SP Esther Christina, 60, dan M. Manisah, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad pada Selasa (7 Januari).
Kedua-dua tertuduh, selaku orang yang bertanggungjawab ketika itu terhadap V. Thanes Nair, empat tahun, dikatakan meninggalkannya tanpa pengawasan sewajarnya di sebuah tadika di Sri Klebang pada 17 April 2023, kira-kira pukul 10.07 pagi.
BACA LAGI: Remaja perempuan tak mengaku salah tikam ibu saudara guna pisau
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, tertuduh juga perlu melakukan perkhidmatan komuniti sehingga 240 jam secara agregat dalam tempoh enam bulan.
Sebelum prosiding, Esther Christina telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap pertuduhan kecuaian yang sama di bilik mahkamah yang berbeza.
Esther Christina pertama kali didakwa dan dituntut dibicarakan di Mahkamah Majistret pada Julai 2023 atas kesalahan itu.
Pada Januari tahun lalu, Esther Christina telah diberikan DNAA untuk pertuduhan itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen sebelum didakwa semula mengikut Akta yang sama.
Pada 23 April 2023, ibu kepada kanak-kanak itu pada satu sidang media, mendawak bahawa pihak pengurusan tadika berlaku cuai sehingga menyebabkan kematian.
Kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun kira-kira tujuh hari kemudian selepas dimasukkan pada hari kejadian.
Semasa merayu agar anak guamnya dibebaskan, peguam Gary Xavier berkata, Esther Christina sedang mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan di Subang Jaya, selepas menjalani pembedahan tumor otak sebelum ini.
Dua wanita itu didakwa bersama di Mahkamah Sesyen di Ipoh.
"Beliau memberi kerjasama semasa prosiding sebelum ini dan menghadiri mahkamah sejak pertama kali didakwa," katanya.
Bagi Manisah, Gary berkata, gaji bulanannya kira-kira RM1,900.
“Dia melanjutkan pelajaran dalam program sarjana dan majikannya memotong RM500 untuk program itu setiap bulan, jadi gajinya hanya mempunyai kira-kira RM1,400.
“Dia telah memberikan kerjasama semasa siasatan polis. Dia juga akan berkahwin bulan depan, jadi ia akan menambah perbelanjaannya," katanya sambil menambah dia juga perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua.
Azizah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang, dan memerintahkan kedua-duanya tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram