'Lega bebas kes hasut Sultan Selangor', Sanusi mahu hantar representasi tuduhan ke-2 babit bekas Agong


Sanusi bersyukur selepas beliau dibebaskan dan dilepaskan daripada menghasut dalam satu ceramah politik Julai tahun lalu yang berkaitan Sultan Selangor.

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menzahirkan kesyukuran selepas beliau dibebaskan dan dilepaskan daripada menghasut dalam satu ceramah politik Julai tahun lalu yang berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"Saya bersyukur. Saya rasa sedikit lega. Saya akan menunggu (perkembangan) bagi tuduhan kedua (berkaitan bekas Yang di-Pertuan Agong)," katanya selepas prosiding pada Selasa.

Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau juga akan berbincang dengan peguamnya mengenai kemungkinan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tuduhan kedua, lapor Berita Harian.

Representasi biasanya dibuat kepada AGC untuk memohon penarikan balik atau pengurangan tuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Terdahulu The Star melaporkan Sanusi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, berhubung satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu masih berdepan satu lagi kes menghasut, menyentuh Sultan Pahang yang ketika itu selaku Yang di-Pertuan Agong.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan satu kes hasutan terhadap Sultan Selangor dihadapi Sanusi, 50.

"Mahkamah memerintahkan Sanusi dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan hasutan terhadap Sultan Selangor manakala satu lagi kes terhadap Agong, ditetapkan untuk perbicaraan," katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, ketika prosiding lalu, mahkamah menetapkan Selasa untuk keputusan representasi bagi dua kes yang dihadapi tertuduh.

Sebelum ini, Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama dikemukakan ahli politik PAS itu ditolak oleh AGC pada Mei.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 September lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram