Tragedi tanah runtuh buat penduduk di 3 kawasan trauma setiap kali hujan lebat


  • Massa
  • Khamis, 17 Okt 2024

Penduduk Kg Baru Sungai Lui, Kajang, membuang sampah besar ke dalam tong RoRo selepas banjir melanda kawasan itu pada Selasa.

PENDUDUK Hulu Kelang, Ampang dan Hulu Langat terkejut apabila hujan lebat pada pagi Selasa menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh di beberapa kawasan.

Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kawasan di Ampang Jaya dan Kajang dilanda banjir serta tanah runtuh.

Sebuah video menunjukkan murid berdiri di atas meja dan kerusi di dalam bilik darjah yang dinaiki air, sekali gus membawa kepada operasi menyelamat.

BACA LAGI: Penduduk pening kepala rumah jadi kafe di Ipoh buat jalan sesak, ganggu privasi jiran tetangga

BACA LAGI: 'Mak cakap tak susah pun', resipi tradisi ibu lonjak anak jati Alor Setar hasilkan lebih 3,000 kek butter asli sebulan

Murid daripada dua buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Tabika Kemas Klang Gate dan Tabika Kemas di Jalan Hulu Kelang kini selamat di rumah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam satu kenyataan berkata, 21 orang murid berjaya diselamatkan.

Tadika tersebut ditutup selama dua hari bagi memudahkan kerja pembersihan.

Salah seorang penduduk Taman Keramat AU1, Fatimah Kasim, 64, berkata, keluarganya sentiasa berwaspada setiap kali hujan lebat.

"Saya sering mengingatkan anak-anak saya untuk berwaspada sekiranya hujan turun pada waktu petang, sekiranya berlaku banjir," katanya.

Penduduk Taman Keramat AU5 yang hanya mahu dikenali sebagai Hairul, 45, berkata, dia sedang menghantar anaknya ke SK Taman Keramat ketika air meningkat naik.

"Kami segera berpatah balik ke rumah. Saya risau jika banjir di sekolah, adakah guru dapat memindahkan pelajar dengan pantas?" soalnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim melawat tapak di Taman Lembah Maju di mana sebahagian tempat letak kereta terbuka runtuh ke dalam Sungai Kerayong pada Sabtu.

Beliau ditemani oleh anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Saya meminta laporan terperinci daripada Jabatan Saliran dan Pengairan (JSP) untuk tindakan lanjut MPAJ," kata Izham dalam satu catatan Facebook beliau.

"Buat masa ini, hanya kawasan yang terjejas adalah kawasan terlarang," katanya sambil menambah bahawa JSP dan MPAJ akan menjalankan pemeriksaan berkala.

Di Hulu Langat, pembaikan kabel utiliti serta kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan selepas Sungai Lui pecah pada Selasa.

Pada Disember 2021, beberapa kawasan tenggelam sepenuhnya selepas Sungai Lui melimpah berikutan hujan berterusan selama dua hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menerusi catatan di Facebook berkata, kerja-kerja membaiki tiang elektrik yang tumbang di Kampung Jawa sedang dijalankan.

Di Kampung Baru Sungai Lui, Pengurusan Sisa KDEB meletakkan tong roll-on, roll-off (RoRo) untuk penduduk membuang sisa pukal selepas air banjir memasuki kediaman mereka.

Johan berkata, wakil Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat turut meninjau kawasan yang dilanda banjir.

“Kajian lanjut akan dijalankan bagi menangani masalah limpahan sungai,” tambahnya. — The Star/FARID WAHAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram