Beg milik Farah Kartini dijumpai di lokasi kedua, polis sambung 'menyelam' cari barang mangsa pada Jumaat


  • 112
  • Khamis, 18 Jul 2024

Barang kedua milik Farah Kartini dijumpai di Kampung Batu 4, Trolak, Perak pada Khamis.

POLIS mengesahkan berjaya menemui beg dipercayai milik Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di lokasi kedua di Kampung Batu 4, Trolak, Perak.

Memetik The Star, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beg berkenaan dijumpai anggota Unit Siasatan Sub-akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita jumpa satu beg kepunyaan mangsa di sekitar lokasi kedua,” katanya.

BACA LAGI: Sampel DNA sepadan, jenazah Nur Farah Kartini diserah famili hari ini

BACA LAGI: 'Tak perlu tunggu 24 jam buat laporan polis', pakar jenayah mahu orang ramai kikis pemahaman lapuk

WhatsApp Image 2024-07-18 at 6.24.13 PM

Nur Farah Kartini (gambar kanan) dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak, pada 11 Julai lalu dan suspek utama pembunuhan tersebut merupakan seorang anggota polis yang dipercayai merupakan kenalannya.

Dalam pada itu, Hussein turut berkata, operasi pencarian melibatkan Unit Forensik serta Unit Siasatan Sub-Akuatik Forensik PDRM di lokasi kedua itu akan diteruskan pada Jumaat.

“Pada Jumaat kita akan teruskan lagi pencarian, (melibatkan) Unit Forensik dan Unit Siasatan Sub-Akuatik Forensik PDRM,” katanya.

Sebelum ini, Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai pada Isnin.

Hussein juga mendedahkan bahawa proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap mayat yang dijumpai adalah sepadan dengan mangsa.

"Hasil DNA yang dipadankan adalah positif dengan Farah Kartini yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa sebelum ini," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, jenazah Farah Kartini selamat dikebumikan pada pukul 5.20 petang Khamis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram