Tun Hanif dikebumi sebelah makam anak di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara


  • Primer
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Utama, Masjid Negara sebelum solat jenazah disempurnakan dan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

JENAZAH bekas Ketua Polis Negara (KPN) Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang meninggal akibat sakit buah pinggang disemadikan bersebelahan pusara anaknya, Allahyarham Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013, pada 3.15 petang.

Media melaporkan, sebelum jenazah dikebumikan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyerahkan Jalur Gemilang yang menutup keranda Allahyarham kepada anak keduanya, Abdul Rahmat Omar.

Penyerahan itu sebagai simbolik penghormatan terakhir PDRM terhadap jasa-jasa dan pengorbanan Allahyarham yang pernah melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara.

BACA LAGI: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

Tun Hanif Omar meninggal dunia pada pagi Sabtu.

Allahyarham Tun Hanif melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara.

Allahyarham yang berusia 85 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi, Sabtu di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Untuk rekod, Allahyarham memegang jawatan KPN keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Januari 1994.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Utama, Masjid Negara sebelum solat jenazah disempurnakan dan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Solat jenazah tersebut disertai kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, pegawai tertinggi PDRM dan sahabat handai.

BACA LAGI: 'Nak gurau ke berhibur berpada-pada', Firdaus Wong pesan jaga adab ziarah kubur

Turut hadir di Masjid Negara ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Timbalan KPN, Tan Sri Mazlan Mansor.

Selain itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Nor, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Terdahulu, Razarudin memaklumkan jenazah Mohammed Hanif akan dikebumikan di Makam Pahlawan, bagaimanapun Abdul Rahmat Omar memberitahu media bahawa atas permintaan keluarga, jenazah ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram