
MOHAMAD Safiq Rosli yang didakwa mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan kerana jenayah menghendap diarah untuk dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Majistret Sasha Diana Sabtu berkata, mahkamah mendapati lelaki berusia 38 tahun itu, tertuduh didapati tidak waras dan tidak menyedari bahawa tindakannya melanggar undang-undang apabila dia melakukan kesalahan tersebut.
Mohamad Safiq merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan itu di bawah undang-undang tersebut yang baru diperkenalkan.
BACA LAGI: 'Terlepas pandang', lelaki hendap jurugambar wanita di media sosial dihukum Rabu
Menurut Sasha, pihak pembelaan, berjaya membuktikan tertuduh tidak siuman mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
"Oleh itu, dia dibebaskan dan dilepaskan. Dia akan ditempatkan di tempat yang selamat dan ditahan atas perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah," katanya pada Rabu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dalam perbicaraan yang mengambil masa sehari.
TERKINI ❗️Mahkamah Majistret Shah Alam perintah lelaki pertama didakwa atas tuduhan menghendap ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak#videobernama pic.twitter.com/Qq0wWi5OFf
— BERNAMA (@bernamadotcom) January 17, 2024
Terdahulu, saksi perunding psikiatri forensik daripada pihak pembelaan, Dr Ian Lloyd Anthony berkata, Mohamad Safiq disahkan menghidap skizofrenia.
"Kecelaruan mentalnya pada masa kesalahan yang didakwa itu kebanyakannya bersifat khayalan.
"Dia mempunyai pelbagai khayalan. Khayalan utama ialah khayalan cinta, juga dikenali sebagai erotomania. Seseorang yang mengalami khayalan jenis ini percaya bahawa orang lain jatuh cinta dengannya," katanya daripada kandang saksi.
Sebelum ini, Mohamad Safiq didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana perbuatan menghendap terhadap jurugambar popular, Acacia Mardiana Daud, 31, di Twitter (X). — The Star/WANI MUTHIAH/JUNAID IBRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram