[VIDEO] Polis Gombak buru pemandu Iriz 'cilok' melulu, berhenti mengejut tengah jalan di MRR2


  • 112
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan kereta Proton Iriz yang berhenti secara mengejut di tengah jalan raya di MRR2 yang tular sejak Jumaat.

MEMANDU secara melulu di jalan raya sememangnya mengundang bahaya sekali gus mengancam keselamatan pengguna lain.

Malah sehingga hari ini, masih ada segelintir pemandu yang mempunyai sikap tidak bertanggungjawab dan peka terhadap perkara tersebut.

Ini dapat dilihat apabila tularnya sebuah video memaparkan pemandu kereta jenis Proton Iriz yang memandu secara berbahaya di tengah jalan di Kilometer 13, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada 28 Disember 2023.

Namun, tindakan tular itu berjaya dihidu dan kini pemandu terbabit dilaporkan sedang diburu oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan dijalankan berdasarkan insiden berkenaan.

"Siasatan mendapati, kenderaan jenis Proton Iriz biru itu dipandu dari arah Batu Caves, Selangor menghala ke Ampang, Kuala Lumpur sebelum pemandunya bertindak memperlahankan kenderaan serta berhenti selama beberapa saat sebelum kembali bergerak meneruskan perjalanan.

"Tindakan pemandu terbabit membuat halangan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Ariffin berkata, pemandu kenderaan terlibat serta pemilik kamera papan pemuka yang merakam kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Polis meminta agar individu terlibat segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

BACA LAGI: Penunggang, pembonceng 'cilok' terlajak hampir tercampak dalam laut lepas rempuh tembok Jambatan Pulau Pinang

Menerusi video kamera papan pemuka (dashcam) dimuat naik di Twitter (X) @HezeriSamsuri pada Jumaat, kereta Iriz biru itu dilihat memotong jalan secara melulu sebelum tiba-tiba berhenti di tengah jalan.

"Dia lupa orang dah ada dashcam. Tapi dia gembira katanya. Satu dunia dah nampak bahagian sayap belakang (spoiler) lawa dia tu. Misi tercapai. Syabas.

"Esok cilok depan kepala treler kat Port Klang, Selangor tau. Kami nak tengok siapa menang," tulisnya.

Pada masa sama, pemilik video dashcam yang ketika itu berada di belakangnya kedengaran sempat membunyikan hon serta berang dengan tindakan pemandu terbabit.

BACA LAGI: Padah cilok tak lepas, kereta dipandu laju di jalan sesak Klang terbalik sebelum terseret 50m

Sementara itu, rata-rata warga maya yang menonton video berkenaan turut meluahkan kemarahan terhadap pemandu Iriz biru itu.

"Membahayakan nyawalah dia ni," komen @iamnalianailaje.

"Orang macam ni sila tarik lesen dia balik," tulis @syamm54.

Dalam pada itu, ada juga yang menyarankan agar pihak polis dapat mengambil tindakan dan mendakwa tindakan pemandu itu seolah-olah seperti pembuli jalan raya.

"Nombor plat ada. Polis Diraja Malaysia (PDRM) takutnya ada pembuli jalan raya macam ni. Kita tak tahu apa lagi yang dia mampu buat kepada pengguna lain," komen @chicanoz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram