SEORANG pemandu di Kepong, Kuala Lumpur berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki dirempuh sehingga terbalik oleh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba.
Kejadian di sebuah stesen minyak dekat Manjalara pada Rabu itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Berdasarkan klip tersebut, kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa pada awalnya dilihat sedang menunggu di laluan keluar stesen minyak tersebut untuk bergerak ke jalan utama.
Bagaimanapun, sebuah lori yang berada di stesen tesebut kemudiannya dilihat secara tiba-tiba mengundur sehingga melanggar kenderaan mangsa yang berada di belakang.
Keadaan kereta mangsa ekoran kejadian tersebut.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca selepas pemandu lori yang mmebawa muatan besi itu terlupa untuk menarik brek tangan dengan kemas semasa meletakkan kenderaannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu berlaku pukul 10.30 pagi Rabu.
Katanya, siasatan mendapati berlaku kemalangan semasa lori tersebut diletakkan di salah satu pam minyak untuk mengisi bahan api.
“Pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 52 tahun meninggalkan kendaraannya untuk membuat pembayaran di kaunter.
“Dalam masa yang sama, lori tersebut telah bergerak secara mengundur ke belakang lalu melanggar kereta jenis Honda City yang berhenti di simpang jalan stesen minyak untuk memasuki jalan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sarifudin bagaimanpaun berkata, kemalangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan terhadap kedua-dua pemandu dan orang awam.
Jelasnya, kes diklasifikasikan di bawah Rule 14(1) LN 165/59 (Tidak tarik brek tangan dengan kemas). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram