
SEORANG lelaki mendedahkan menerusi media sosial mengenai kesukarannya memperoleh pembekal perkhidmatan internet di kawasan tempat tinggalnya yang terletak di Kampung Sentosa, Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Menurut lelaki itu, Azmi Aziz, sebelum ini, dia ada menghubungi pihak Telekom Malaysia (TM) untuk memperoleh rangkaian internet tetapi agak sukar kerana dia perlu memohon memasuki Demand List berikutan kawasan kediaman tidak termasuk dalam radius 50 meter (m) bagi cakupan liputan.
Malah, masa yang diperuntukkan untuk mendapatkan rangkaian internet sama sekali tidak dapat dipastikan.
"Rumah saya ni 50m sekeliling semua hutan lagi... jadi saya tanya kalau masuk Demand List berapa lama saya akan boleh dapat internet? dan jawapan diberikan adalah bergantung kepada demand yang diterima," katanya.
Selain itu, dia cuba menghubungi Celcom bagi tujuan yang sama tetapi permintaan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi tersebut agak serupa dengan percubaan kali pertamanya ketika memohon menerusi TM.
"Sudah WhatsApp semua, mereka (Celcom) siap balas mesej dengan hantar semula tangkap layar Google Maps area rumah dengan lukisan menunjukkan kawasan mana ada liputan dan sebaliknya. Rumah saya kira-kira betul-betul sudah di tengah-tengah kawasan besar yang tiada coverage," keluhnya.
Selepas itu, dia cuba mendapatkan Maxis bagi membolehkan mendapat perkhidmatan daripada syarikat telco berkenaan.
Lebih mengejutkan, dia diminta untuk mengisi banyak borang hanya untuk tujuan pemeriksaan liputan dan bukannya untuk membuat sebarang pendaftaran servis.
"Dia siap minta tiga dokumen lagi iaitu tangkap layar Google Maps rumah. Tetapi apabila saya nak bagi koordinat Global Positioning System (GPS) mereka tak mahu, dia kata mahu screenshot Google Maps yang ada alamat rumah, salinan bil elektrik dan gambar rumah. Saya kata nak buat apa sebab kalau nak pendaftaran mesti dia minta kad pengenalan sekali," katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, masa yang diperuntukkan untuk memeriksa liputan sahaja mengambil masa selama seminggu yang tidak bersesuaian dengan keinginannya yang mahu mendapatkan rangkaian internet dalam masa terdekat.
Malah, Azmi mendakwa dia memperoleh layanan buruk daripada khidmat pelanggan Maxis apabila dia memohon untuk mengubah prosedur yang agak leceh tersebut.
"Encik yang mahu service kamikan. Encik perlu follow prosedur kami," demikian kata pegawai khidmat pelanggan Maxis terhadap Azmi seperti yang diceritakan dalam hantaran panjang lebar di Facebooknya itu.
"Saya bayar untuk servis, anda yang mahu duit, jadi pilihlah, apa yang awak tawarkan coverage atau servis saya tak mahu dah," katanya membalas kembali jawapan berkenaan.
Starlink juga popular digunakan di luar negara.
Akhirnya, Azmi cuba melayari laman web Starlink pada Isnin lalu selepas berbincang bersama keluarganya.
"Pada hari Selasa saya setuju untuk pembelian, selepas itu membuat pembayaran secara dalam talian, daftar dan download apps Starlink.
"Pada Rabu lepas dapat e-mel menyatakan penghantaran sudah dibuat dan pada Khamis lepas sudah sampai barangan. Dalam beberapa jam sahaja terus ada rangkaian internet," katanya.
Starlink merupakan rangkaian satelit di orbit Bumi rendah yang boleh menyediakan internet ke lokasi terpencil atau kawasan yang mempunyai infrastruktur komunikasi biasa yang dilumpuhkan.
Azmi berkata, dia sangat berpuas hati memilih Starlink selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat ketika berurusan dengan syarikat telekomunikasi yang lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan tindakannya dan menyifatkan syarikat telekomunikasi yang lain agak susah untuk memenuhi kehendak pengguna.
"Mentaliti Malaysian business banyak yang pelanggan perlu ikut demand pembekal perkhidmatan. Pelanggan mengadu malah pelanggan yang salah. Pelanggan kritik malah dituduh nak tutup periuk nasi," tulis Anwar Hakim.
"Banyak alasan pembekal perkhidmatan di Malaysia. Bila global player masuk baru semua kelam kabut. Kembali peristiwa pada 2020, saya tiada pilihan untuk memilih Unifi atau Maxis atau lain-lain kerana semua tidak boleh install.
"Coverage telefon pun tiada, padahal duduk taman (perumahan) kurang dari 10 kilometer (km) ke bandar Melaka. Hubungi Unifi dia kata kawasan ini luar bandar. Seriuslah peta mereka macam tidak dikemas kini sejak 30 tahun (lalu) atau apa. Masa Covid-19 terpaksa pandu tepi jalan mana-mana untuk masuk mesyuarat baru dapat line," tulis Juraiza Jais.
"Sama kes macam saya. Tiga tahun cuma ada coverage Digi sahaja di rumah. Internet hampir RM500 sebulan dengan data habis mahu beli," tulis Muhamad Solehin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram