[VIDEO] Sesuka hati lafaz talak 3? Tiada istilah 'cina buta' dalam perkahwinan Islam


  • Massa
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Lafaz talak 3 tidak boleh dibuat sesuka hati. — Gambar hiasan

TIADA pasangan mahukan rumah tangga dibina atas dasar kasih sayang dan cinta itu berakhir dengan perceraian.

Apatah lagi perkahwinan yang dibina merupakan ikatan suci berlandaskan hukum syarak dengan rukun dan syarat ijab kabul.

Islam membenarkan sesuatu perceraian jika berlaku shiqaq dan hilang mawaddah dalam sesebuah ikatan perkahwinan.

Kuasa talak dalam perkahwinan diberikan kepada suami dan bukan kepada isteri atas sebab-sebab tertentu.

Kuasa talak yang dimiliki oleh suami adalah sebanyak tiga kali.

Suami masih boleh merujuk isterinya pada talak satu dan dua tetapi tidak boleh lagi rujuk selepas talak tiga.

Talak tiga terbahagi kepada dua iaitu:

a) Talak yang diucapkan sebanyak tiga kali iaitu suami melafazkan talak pertama kemudian rujuk, melafazkan talak dua kemudian rujuk dan melafazkan talak tiga.

b) Talak tiga yang dilafazkan secara sekali gus ialah talak yang dilafazkan tanpa talak satu atau dua seperti suami berkata kepada isterinya 'aku ceraikan kau dengan talak tiga'.

Mahkamah Syariah dalam memutuskan bilangan talak akan meneliti sama ada lafaz talak oleh suami adalah jelas.

Perkataan talak adalah salah satu daripada perkataan yang perlu jelas.

Jika lafaz talak itu dianggap jelas maka tidak timbul isu sama ada suami berniat melafazkan tiga atau satu.

KESAN PENSABITAN TALAK TIGA

Apabila suami menceraikan isterinya dengan talak tiga dan disabitkan oleh mahkamah maka mereka tidak boleh kembali menjadi suami isteri kecuali memenuhi beberapa syarat.

Syarat-syarat tersebut adalah:

a) Bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna selepas selesai tempoh iddahnya.

b) Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya.

c) Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baharunya, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut.

Apabila cukup tiga syarat tersebut dan sudah habis waktu iddah, maka barulah suami pertamanya (yang menceraikan wanita itu dengan talak tiga) boleh bernikah semula dengan bekas isterinya itu dengan syarat wanita itu bersetuju untuk bernikah semula dengan bekas suami pertamanya itu.

Menurut Ustaz Azhar Idrus, perkahwinan yang dibuat antara bekas isteri dengan suami baharunya tidak boleh dibuat atas dasar perancangan di antara bekas suami dan bekas isterinya atau disebut perkahwinan muhallil.

image5-1-680x380

Bekas isteri perlulah berkahwin dengan suami baharu secara sah dan bukan secara kahwin 'cina buta'.

Perkahwinan muhallil lebih popular disebut ‘kahwin cina buta’ bagi sesetengah rakyat di Malaysia.

Ustaz Azhar Idrus turut berkata, perkahwinan dengan suami baharu itu hendaklah berlaku ‘dukhul’ iaitu jimak.

Menurut hadis, Ali RA berkata, “Rasulullah SAW melaknat muhallil (iaitu orang yang menikahi seorang wanita dan menceraikannya dengan niat supaya wanita itu menjadi halal kembali bagi suami pertama) dan muhallallahu (orang yang meminta muhallil melakukan pernikahan tersebut iaitu bekas suami).”

"Mereka (bekas isteri dan suami baharu) perlu kahwin dengan syarat sah. Namun jika pendek jodoh lalu bercerai dan bekas isteri barulah boleh kembali kepada bekas suami semula dan talak tiga yang dikenakan sebelum itu akan dikira sebagai kosong semula," katanya.

Oleh itu, suami perlulah berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya 'bermain' dengan perkataan talak ketika berlaku perselisihan faham dengan pasangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram