[VIDEO] 'Macam sengaja je', penunggang motosikal jatuh tertiarap tak bergerak lepas langgar wanita lintas mengejut di Batu Caves


  • Tular
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan kemalangan tersebut yang melibatkan seorang penunggang motosikal bersama pejalan kaki di Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis.

SATU kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal bersama seorang pejalan kaki yang sedang mahu melintas dilaporkan berlaku berdekatan Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis.

Insiden dipercayai terjadi sekitar pukul 3.30 petang itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Menerusi video berdurasi satu minit 16 saat itu, penunggang motosikal terbabit dilihat sedang melintasi sebuah persimpangan lampu isyarat yang ketika itu sedang berada menunjukkan isyarat lampu hijau.

Bagaimanapun, seorang wanita didapati secara tiba-tiba mahu melintas di jalan tersebut menyebabkan penunggang terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki tersebut.

Akibat impak pelanggaran itu, penunggang berkenaan dilihat tersungkur dan terseret beberapa meter dalam keadaan tertiarap di lorong kiri jalan.

Mangsa kemudiannya juga didapati tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pergerakan.

Wanita pejalan kaki terbabit bagaimanapun dilihat mengalami sedikit kecederaan dan bangun dengan kaki terhincut-hincut untuk bergerak ke tepi jalan.

Menerusi klip terbabit, beberapa penunggang motosikal lain berhenti di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan kerisauan berhubung status kecederaan penunggang berkenaan yang dilihat langsung tidak bergerak.

"Ok ke rider tu? Lepas jatuh tak bergerak langsung. Semoga cepat sembuh," tulis Elisa Suhairi.

"Yang bawa motor tu macam mana keadaan dia...naya weiii," tulis Aida Abdul.

Pada masa sama, terdapat juga warganet yang tampil berkongsikan rasa geram melihat tindakan pejalan kaki terbabit yang melintas secara berbahaya.

Malah ada yang mendakwa perbuatan dilakukan pejalan kaki itu seperti disenjagakan.

"Memang biasa orang melintas jalan mcm ni. Dorang macam tak fikir keselamatan. Padahal risiko kena langgar tinggi," kata Arr Rizal K.

"Geram betul la yang jenis melintas macam ni. Adoi la..." ujar Nawal Syafiq Jamilah.

"Macam saja je. Dia redah motosikal tu," tulis Faz Ila.

Bagaimanapun, terdapat warganet tampil menjelaskan bahawa wanita pejalan kaki itu difahamkan mempunyai masalah penglihatan dan merupakan pekerja di sebuah kedai serbaneka berdekatan kawasan tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir pada Sabtu mengesahkan mengenai kejadian kemalangan tersebut yang berlaku pada Khamis sekitar pukul 3.45 petang.

Dalam insiden tersebut, beliau memaklumkan penunggang motosikal yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu, kaki dan tangan.

Noor Ariffin memaklumkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan polis daripada penunggang motosikal terbabit.

Sehubungan itu, beliau meminta pejalan kaki dan pemilik rakaman kamera papan pemuka terbabit supaya turut tampil membuat laporan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Rule 41 LN 167/59.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Suharman Che Musa di talian 0196751727.

Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0361262222 atau tampil ke balai berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram