Tiada tempoh bulan madu untuk mana-mana menteri — PM Anwar


  • Primer
  • Rabu, 13 Dis 2023

Mesyuarat Kabinet terdiri daripada anggota Jemaah Menteri yang baru dilantik pada Selasa diadakan pada Rabu. — Facebook/AnwarIbrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua anggota Kabinet termasuk yang baharu dilantik bahawa tidak ada tempoh untuk berbulan madu dalam isu menjalankan tugas bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, anggota Kabinet dan kerajaan dituntut untuk menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.

Anwar berkata, itu merupakan antara perkara disampaikan beliau dalam mesyuarat pertama Kabinet baharu Jemaah Menteri pagi Rabu.

"Dalam mesyuarat ini saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing. Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar atas sumbangan yang telah diberikan.

"Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

410256749_933318308149737_5974559072390895079_n

Anwar (kiri) hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada Rabu. — Facebook/AnwarIbrahim

Mesyuarat itu turut dihadiri ahli-ahli Jemaah Menteri yang baharu iaitu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Pada Selasa, Anwar mengumumkan rombakan kabinet, yang menyaksikan pelantikan lima muka baharu bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Rombakan Kabinet dan penyusunan semula kementerian melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula diasingkan masing-masing kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang. — Majoriti

Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram