Akauntan dibunuh, ditemukan tanpa seurat benang dan pengenalan diri tepi jalan di Cheras


  • 112
  • Isnin, 11 Dis 2023

Penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berpakaian di tepi jalan di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru pada Isnin. — Facebook

PENDUDUK digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berpakaian dipercayai dibunuh berdekatan Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Pemeriksaan mendapati mayat mangsa dalam keadaan tidak berpakaian serta berkedudukan meniarap di tepi jalan selain mengalami beberapa kecederaan pada badan.

"Siasatan juga mendapati mangsa berumur 28 tahun bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zam Halim berkata, selain itu, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat terbabit.

"Pegawai perubatan dari Hospital Ampang yang hadir di tempat kejadian telah mengesahkan kematian mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung motif pembunuhan mangsa.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram