Dua suspek cuba cederakan polis di Kota Bharu ditahan, miliki 23 rekod jenayah dan dadah


  • 112
  • Ahad, 10 Dis 2023

Polis berkata, suspek melarikan diri dengan memecut sebuah kereta namun berjaya ditahan di Kampung Pangkal Pisang. — Gambar hiasan

SEORANG anggota polis retak pergelangan tangan kanan selepas terjatuh akibat ditendang dua suspek kes dadah di Kampung Pangkal Pisang, Melor, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian itu dua anggota dari Balai Polis Kubang Kerian telah mengesan sebuah kereta dinaiki lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an dalam keadaan mencurigakan di Bandar Satelit Pasir Tumboh sekitar pukul 3.45 pagi.

Beliau berkata, suspek melarikan diri dengan memecut kereta itu namun berjaya ditahan di Kampung Pangkal Pisang.

"Semasa proses tangkapan dibuat kedua-dua suspek telah bertindak agresif serta berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota polis telah ditendang sehingga terjatuh dan mengakibatkannya mengalami kecederaan retak pergelangan tangan kanan.

"Namun anggota polis yang cedera bersama dengan rakan setugas tetap berjaya memberkas kedua-dua suspek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek menemukan ketulan-ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM700.

"Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek itu dapati positif jenis dadah THC (Tetrahydrocannabinol).

"Polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 23 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah serta turut dikehendaki oleh pihak polis kerana terbabit aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 15 Dis depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram