'Jumpa lagi ya abang. Tunggu mommy tau,' ibu Zayn Rayyan merindu, orang pertama jumpa mayat masih terkejut


  • Massa
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf sedih akan kehilangan putera sulungnya itu.

KESEDIHAN Ismanira Abdul Manaf, 28, atas kehilangan anaknya Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak dapat dibendung.

Kerinduan terhadap permata hatinya diluahkan menerusi sekeping gambar di Instagram (IG) dengan pesanan buat ‘anak syurga’ itu supaya menunggunya di sana.

“Jumpa lagi ya abang. tunggu mommy tau abang. Mommy rindu sangat nak peluk cium dan gomol abang. Abang tetap anak sulung mommy sampai bila-bila tiada ganti.

“Maafkan mommy jika banyak kekurangan sepanjang membesarkan abang.”

Ismanira turut meminta maaf kepada semua kerana tidak sempat membalas pesanan di WhatsApp atau panggilan telefon buat masa ini.

“Telefon saya dan suami masih lagi pihak polis pegang untuk membantu siasatan.

photo_2023-12-06_23-30-49

Zayn Rayyan dipercayai dibunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.

“Mohon maaf ya. Bukan saya ignore (tidak peduli), Instagram ini saya log in guna phone lain. Pinjam phone orang,” katanya.

Ismanira juga mengucapkan terima kasih kepada semua mendoakannya.

“Saya mohon semua doakan saya diberikan kekuatan. Saya masih lagi tak stabil emosi.

“Ini ujian paling berat dalam hidup Ya Allah tabahkanlah aku,” katanya.

Dalam pada itu Buletin TV3 melaporkan, Faizol Najib Abdul Naim, individu yang menemukan mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, berkata, dia terkejut dengan berita pembunuhan kanak-kanak autistik itu kerana pada awalnya penduduk hanya mencari orang hilang.

Menurutnya, sebaik mengetahui berita Zayn Rayyan dibunuh, dia kemudian menghubungi pihak polis untuk mendapat pengesahan sebelum diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk dirakam percakapan membantu siasatan.

“Saya agak terkejut kerana tidak sangka jadi seperti itu (bunuh) kerana pada awalnya penduduk hanya mencari orang hilang dan ketika menerima berita itu saya kebetulan hendak ke Kedah atas urusan kerja.

“Malam tadi (Jumaat) juga saya diminta hadir sekali lagi ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam percakapan,” katanya.

Faizol, 45, yang sudah 13 tahun menetap di Apartment Saujana berhampiran Apartmen Idaman berkata, dia bersama penduduk melakukan pencarian pada malam pertama arwah hilang.

”Cumanya pada malam pertama, pencarian itu agak kurang sedikit kerana mungkin orang ramai beranggapan adik Zyan lari dan akan pulang semula,” ujarnya lagi.

Pada malam kedua pencarian, dia bersama penduduk Apartmen Saujana mengadakan solat hajat selepas solat Isyak sebelum memulakan pencarian.

“Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa kami apabila memulakan pencarian pada malam itu akhirnya menemukan arwah.

“Ketika itu, saya cuma nampak dia (Zayn) seperti sedang tidur dalam kepenatan menunggu orang mengambilnya sebelum saya terus menghubungi rakan-rakan lain dan memaklumkan kepada polis yang sedang melakukan pencarian rumah ke rumah,” katanya.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan meninggal dunia, di saliran air kira-kira 200 meter dari kawasan perumahannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 10 malam, Rabu lalu, selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian kanak-kanak itu diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram