SERUAN jihad bergema ketika tentera Israel melancarkan serangan tembakan ke atas Palestin dalam serbuan di kem pelarian di utara Tebing Barat.
Serangan ini mengorbankan enam nyawa rakyat Palestin yang maut ditembak mati oleh tentera Israel pada Jumaat.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, pihaknya belum mengenal pasti mangsa yang maut, tetapi menjelaskan mereka terbunuh akibat peluru Israel di kem pelarian Al-Fara berhampiran Tubas, Palestin.
Tentera Israel tidak menjawab segala permintaan untuk mengulas insiden itu.
"Pertempuran meningkat dengan tentera (rejim zionis) yang menyerbu kem di tengah-tengah kebakaran dan letupan," kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Keganasan berlaku di wilayah itu sejak meletusnya perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Pihak Berkuasa Palestin berkata, serangan tembakan oleh penceroboh Israel di Tebing Barat telah membunuh sekurang-kurangnya 263 rakyat Palestin sejak perang Israel-Hamas bermula.
Angka ini melebihi keseluruhan angka 235 kematian, kebanyakannya rakyat Palestin, yang terbunuh dalam konflik Israel-Palestin tahun lalu.
Pada bulan November lalu, 14 rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan Israel di bandar Jenin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah.
Ia adalah angka kematian Tebing Barat tertinggi dalam satu serbuan sejak 2005, menurut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Israel berkata, askar dan pasukan keselamatan lain telah membunuh beberapa pengganas dalam serangan dron.
Tidak kurang juga yang terbunuh dalam pertempuran bersenjata, rampasan senjata dan pemusnahan terowong menggunakan alat letupan.
Pegawai dan tentera Israel sering menuduh kem pelarian Jenin, Palestin telah bertukar menjadi hab pengganas, di mana kumpulan bersenjata berada dalam kalangan puluhan ribu penduduk.
Menurut badan amal perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), sejak perang meletus, mangsa tembakan Palestin di Tebing Barat yang diduduki kini lebih kerap ditembak di kepala dan badan berbanding anggota badan.
Tanpa menyatakan siapa yang bertanggungjawab atas kes tembakan itu, presiden antarabangsa MSF, Christos Christou berkata, pada Khamis terdapat pergeseran yang jelas, berdasarkan kecederaan yang disaksikan oleh kakitangan MSF.
"Apabila anda melihat peralihan dalam trauma itu, anda akan melihat lebih ramai orang mati," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram