Lapan MP belum jalani pemeriksaan kesihatan, Speaker Dewan Rakyat bakal dedah nama Jumaat ini


  • Primer
  • Rabu, 29 Nov 2023

Johari pada Rabu memaklumkan lapan ahli Parlimen masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan. — Bernama

SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa beliau akan mendedahkan nama ahli Parlimen yang gagal menjalani pemeriksaan kesihatan wajib bermula Jumaat ini.

“Sehingga kini, seramai 213 ahli Parlimen dan enam Senator telah menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Bagaimanapun, lapan ahli Parlimen masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Saya akan paparkan (nama mereka) jika mereka belum berbuat demikian dan menyerahkan salinan laporan perubatan kepada sekretariat Dewan Rakyat selewat-lewatnya 1 Disember," kata Johari sebelum permulaan prosiding Parlimen pada Rabu.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan lapan ahli Parlimen terbabit supaya berhati-hati ketika menikmati juadah durian semasa Pesta Buah-buahan yang akan diadakan di Parlimen pada Rabu.

"Kepada mereka yang menghadiri pesta durian, terutamanya lapan daripada mereka yang belum pergi membuat pemeriksaan, sila berhati-hati," katanya.

Isu mengenai tahap kesihatan ahli Parlimen timbul berikutan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak pada Julai lalu.

Pada September lepas, Johari mengumumkan semua ahli Parlimen mesti menjalani pemeriksaan kesihatan wajib dan menyerahkan laporan perubatan kepada Parlimen selewat-lewatnya 31 Oktober 2023 sebagai langkah berjaga-jaga.

Tarikh akhir tersebut bagaimanapun, dilanjutkan kepada 30 November ini.

Sejak pilihan raya umum 2018, seramai empat ahli Parlimen meninggal dunia dengan majoriti daripadanya akibat serangan jantung.

Johari berkata, adalah penting bagi Dewan Rakyat untuk mempunyai salinan rekod perubatan Ahli Parlimen bagi membolehkan respons sewajarnya sekiranya berlaku kecemasan perubatan yang menjejaskan ahli Parlimen semasa tempoh persidangan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram