SEORANG remaja lelaki yang mengacukan pisau terhadap pemandu e-hailing warga emas di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah berjaya ditahan hari yang sama pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian lebih kurang pukul 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.
Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang tersebut meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 untuk membayar sewa rumah.
"Dia beritahu sekiranya tidak mempunyai wang, penumpang terpaksa menurunkannya di lokasi tersebut namun penumpang enggan dan minta pemandu bawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.
"Namun, apabila sampai di Bandar Sri Astana, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi menyebabkan warga emas itu terlebih dahulu meminta bayaran sebanyak RM18 dan terus perjalanan sebelum remaja itu melengah-lengahkan sehingga meminta melalui ke beberapa lorong kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.
"Penumpang tersebut telah berikan wang RM20 namun semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, dia telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan mahu merampas wang dari poket.
"Tindakan pantas warga emas tersebut berjaya merampas pisau serta gigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan suspek kemudian melarikan diri," katanya.
Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cubaannya menggigit tangan remaja berusia 13 tahun tersebut menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
Jelasnya, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hasil siasatan mendapati, remaja terbabit merupakan anak sulung dari empat beradik dan bukan dari keluarga yang berpecah.
"Punca suspek bertindak sedemikian kerana berasa marah dengan pengadu disebabkan kena maki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang.
"Terdapat rakaman melalui dashcam yang dipasang dalam kenderaan e-hailing berkenaan," katanya.
Pada masa sama, video berdurasi lebih satu minit yang memaparkan tindakan suspek itu juga telah tular di media sosial sejak Isnin.
Zaidy berkata, laporan polis dibuat sekitar pukul 8 malam dan remaja berkenaan telah ditahan dua jam kemudian.
Katanya, sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25 sentimeter yang dibawa remaja itu telah dirampas.
Sementara itu, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram