Hampir 40 tahanan Palestin dibebas dalam perjanjian gencatan senjata di Gaza


  • Benua
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Penduduk Palestin berkumpul ketika tahanan Palestin yang dibebaskan meninggalkan penjara tentera Israel, Ofer, pada Jumaat.

BERMULA genjatan senjata selama empat hari pada Jumaat, perasaan lega berbaur sedih dirasai bagi rakyat Palestin apabila pertempuran di Gaza akan disambung semula.

Dalam perjanjian yang diuruskan Qatar itu, kumpulan pertama 39 tahanan termasuk wanita Palestin dan kanak-kanak bawah umur dibebaskan sebagai pertukaran pembebasan 24 tahanan perang askar rejim Israel yang ditawan ketika Hamas menyerang tanah haram Zionis pada bulan lepas.

“Tiada kegembiraan sebenar,” kata Sawsan Bkeer, ibu kepada seorang tahanan Palestin, Marah Bkeer, 24 tahun.

Sebelum ini, Marah Bkeer dijatuhi hukuman penjara lapan tahun pada 2015 atas tuduhan melakukan serangan pisau.

Sebelum Marah Bkeer dibebaskan, polis rejim Zionis menyerbu rumahnya di Baitulmaqdis.

"Kami masih takut untuk berasa gembira dan pada masa yang sama, kami tidak mempunyai rasa gembira kerana apa yang berlaku di Gaza," katanya lagi.

Lebih 100 banduan Palestin dijangka dibebaskan dalam tempoh empat hari akan datang, dan lebih ramai lagi mungkin akan dibebaskan jika gencatan senjata dilanjutkan.

WhatsApp Image 2023-11-25 at 7.29.26 AM

Banduan Palestin yang dibebaskan, Marah Bkeer (kanan) memberi sedikit kata-kata selepas perjanjian pertukaran tebusan dengan banduan antara Hamas dan Israel pada Jumaat di Baitulmaqdis.

Dalam pada itu, gencatan senjata sementara disambut baik penduduk Palestin di Beitunia, Palestin dengan bersorak, membunyikan hon kereta dan berarak di jalan membawa bendera Palestin.

Sebahagian orang ramai turut membawa bendera kumpulan Hamas dan melaungkan sokongan kepada Abu Ubaida, jurucakap sayap bersenjata kumpulan itu.

"Saya tidak dapat meluahkan perasaan saya. Alhamdulillah.

"Keadaan di dalam (penjara) sangat sukar," kata Laith Othman, 17 tahun, yang ditahan awal tahun 2023 kerana disyaki membaling alat pembakar dan dibebaskan pada Jumaat.

Tentera rejim Zionis berikrar untuk membebaskan semua tebusan ketika mereka bersedia untuk meneruskan kempen di Gaza yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas, yang mengorbankan 1,200 pendatang haram Israel.

Manakala di Gaza, kira-kira 14,000 rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman rejim Israel ke atas wilayah berdaulat itu.

Malah rejim Zionis berkata, pihaknya sedang bersiap sedia untuk peringkat seterusnya operasi sebaik sahaja gencatan senjata berakhir. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram