
BEBERAPA ahli perniagaan dan pakar teknologi dalam kalangan komuniti Islam berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan minat untuk melakukan pelaburan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau dalam pertemuannya bersama beberapa eksekutif daripada syarikat teknologi terkemuka di negara tersebut.
Perjumpaan berkenaan melibatkan Pengarah Pemasaran Komersial SpaceX Omar Kunbargi; Ketua Pegawai Eksekutif Rembrand, Omar Tawakol; Ketua Pegawai Eksekutif Ornovi, Fauad Hasan; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Z2Data, Mohammad Ahmad; Presiden Whizz System, Muhammad Irfan dan Ketua Perhubungan Z2Data, Osama Ahmad.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata mereka menyatakan minat untuk berbuat demikian selepas mendengar penjelasan mengenai hala tuju Malaysia.
Menurutnya, pertemuan itu turut membicarakan mengenai keperluan memberikan lebih perhatian berkaitan bidang kecerdasan buatan, selain menyentuh soal pendidikan dan aeroangkasa.
"Kami turut membincangkan soal pembangunan umat Islam di Amerika Syarikat serta situasi yang berlaku saat ini yang menimpa warga Palestin.
"Mereka turut menyatakan dukungan dan penghargaan atas pendirian keras dan istiqamah Malaysia mengenai penderitaan warga Palestin," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat yang berakhir Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram