
SEORANG lelaki kecewa apabila isu limpahan air longkang berikutan sistem perparitan kurang baik di Jalan Padang Temusu, Taman Permai, Sungai Petani, Kedah, sama sekali tidak mendapat perhatian pihak berwajib.
Menerusi media sosial, seorang pengguna Telegram, Razif Saad pada Khamis berkata, isu yang tidak diuruskan itu telah mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
"Salam. Mohon panjangkan isu limpahan air loji longkang jalan Padang Temusu, Taman Permai pada pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan yang sepatutnya," katanya dengan aduan itu dikongsikan semula di Telegram Penduduk Sungai Petani (PSP).
Razif juga kesal kerana isu tersebut sudah berlarutan untuk tempoh lama dengan keadaan tersebut membahayakan pengguna motor dan kenderaan lain lebih-lebih lagi apabila cuaca hujan.
"Lagi bahaya pada pengguna motor dan kenderaan lain jika waktu hujan turun, limpahan air lagi laju ke jalan," tulisnya lagi.
Razif berkata, dia berharap pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) mengetengahkan isu tersebut untuk mempercepatkan tindakan bagi membaiki kawasan longkang tersebut.
Keadaan air longkang itu juga sempat dirakam dengan rakaman tersebut menunjukkan ada takungan air dipercayai dari longkang tersebut mengalir sehingga melimpah keluar ke sekitar kawasan jalan raya Padang Temusu.
Air longkang itu turut menimbulkan masalah bau yang kurang menyenangkan kepada pengguna yang melalui kawasan berkenaan.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang maklumat daripada pihak berkuasa berhubung isu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram