
MAYAT seorang wanita ditemui terdampar di pantai dekat Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah sekitar pukul 3 petang Rabu.
Menurut maklumat umum, orang awam yang sedang menyambut ulang tahun di kawasan itu pada awalnya berasa curiga apabila melihat seorang wanita terbaring dalam keadaan lama di pantai tersebut.
"Dia (saksi) menyangka perempuan itu sedang berenang, tetapi dilihat lama tidak bergerak.
"Perasaan sangsinya semakin kuat yang menyebabkan dia(saksi) pergi ke arah wanita itu. Apabila dilihat, mangsa sudah dalam keadaan tidak bernyawa," kata individu yang menyiarkan kejadian itu menerusi Facebook.
Saksi turut berkata, mayat wanita itu dijumpai dalam keadaan basah dan disyaki meninggal dunia kerana lemas.
Saksi terus bergegas melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Turut dilihat, beberapa pihak polis daripada Balai Polis Kota Kinabalu dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kota Kinabalu hadir di kawasan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Selang beberapa minit selepas kejadian, keluarga mangsa turut hadir di kawasan berkenaan untuk tampil memberi maklumat.
Anak mangsa berkata, dia mencari ibunya yang hilang sejak pagi Rabu sebelum mayatnya dijumpai di kawasan berkenaan.
Selain itu, kereta mangsa juga dijumpai berhampiran kawasan itu.
Mangsa dilaporkan kini dibawa ke Queen Elizabeth Hospital, Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat.
Identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan dan polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu setakat artikel ini ditulis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram