Suhaimi Saad meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Johor


  • Hiburan
  • Rabu, 15 Nov 2023

Bekas anggota kumpulan nasyid InTeam, Mohd Suhaimi Saad meninggal dunia di hospital Johor Bahru, Johor pada Rabu.

BEKAS anggota kumpulan nasyid InTeam, Mohd Suhaimi Saad, 43, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor meninggal dunia pada pukul 7.40 malam Rabu.

Khabar duka itu dikongsi menerusi laman Facebook dan Instagram rasmi InTeam (dahulu dikenali sebagai In-Team), pada Rabu.

"Sahabat kami yang kami kasihi. Mohd Suhaimi Saad telah kembali kepada penciptaNya sebentar tadi pukul 7.40 malam.

"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dipermudahkan segala urusan. Semoga Allah menempatkan Almarhum dalam kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh. Lahu Al-Fatihah," tulis ringkas InTeam menerusi laman Instagram rasmi kumpulan itu.

Sebelum ini, Allahyarham ditidurkan dan bergantung alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami kegagalan organ dalaman.

Difahamkan, Suhaimi mengalami masalah batuk kronik sejak empat bulan lalu dan cirit-birit sejak tiga bulan lalu serta berat badannya turun mendadak.

Disebabkan keadaannya semakin membimbangkan, bapa mertuanya telah membawa Suhaimi ke Johor untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nordiana Mohd Naim (Ina Naim) bersama empat orang cahaya matanya Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony hasil perkahwinan sejak 12 Ogos 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram