GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak apabila calonnya Iskandar Turkee diisytiharkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada Sabtu.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey pada pukul 8.30 malam di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Bintulu, Sarawak.
Iskandar, 54, bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing dengan majoriti 8,784 undi.
Semasa mengumumkan keputusan itu, Abang Zainuddin berkata, Iskandar memperoleh 9,638 undi, Stevenson 854 undi dan Chieng 431 undi.
Peratusan pengundi yang keluar mengundi pada Sabtu adalah 48.57 peratus.
DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Allahyarham Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti undi 4,243. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram